suria

Wanita Cedera Diserang Lelaki Tidak Dikenali Di Teluk Intan

TELUK INTAN: Seorang wanita putus telinga kanan, patah beberapa batang gigi serta cedera pada bahagian kepala dipercayai diserang seorang lelaki yang tidak dikenali di Kampung Teluk Selendang, Mukim Teluk Baharu di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.44 malam itu, Jamiaaton Debab, 55, ditemui tertiarap oleh anak bongsunya berusia 13 tahun ketika baharu pulang dari sekolah.

"Semasa anak mangsa sampai di rumah, dia memanggil ibunya namun panggilannya tidak berjawab. Ketika masuk ke dalam rumah, dia menemui ibunya dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah.

"Dia memanggil makciknya yang baharu menghantarnya pulang dari sekolah serta menceritakan keadaan ibunya dan menghubungi bapa serta abangnya untuk memaklumkan kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.

Mohd Shuhaily berkata hasil maklumat daripada anak mangsa serta orang awam, suspek dari Kampung Sungai Bakong di sini ditahan kira-kira pukul 9.30 malam pada hari yang sama di rumah ketua kampung.

"Suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan tersebut," katanya.

Beliau berkata polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa dan sebuah motosikal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, katanya.-- Bernama



Artikel Lain