suria

Malaysia Komited Teruskan Fasa Kedua Cari MH370 Meliputi 60,000 Km Persegi

KUALA LUMPUR: Malaysia terus komited untuk meneruskan fasa kedua misi mencari pesawat MH370 dengan hanya dua buah kapal menjalankan pencarian di kawasan terpencil di Lautan Hindi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, fasa kedua membabitkan tambahan kawasan pencarian seluas 60,000 kilometer persegi.

Beliau berkata kawasan pencarian fasa pertama meliputi 60,000 kilometer persegi dengan tiga buah kapal terlibat dalam operasi di dasar laut iaitu Fugro Equator, Fugro Discovery dan Go Pheonix.

"Kontrak dengan Go Phoenix akan berakhir dengan memenuhi obligasi kontrak  untuk fasa pertama usaha mencari," kata beliau dalam satu kenyataan.

Oleh itu, Fugro Equator dan Fugro Discovery akan dikerah untuk misi pencarian fasa kedua selepas usaha mencari sekarang selesai.

Setakat ini, lebih 52,000 kilometer persegi kawasan pencarian telah selesai diliputi, kata Tiong Lai.

Beliau berkata komitmen bagi meneruskan pencarian dicapai selepas Mesyuarat Peringkat Menteri Tiga Pihak baru-baru ini membabitkan Malaysia, Australia dan China, dan berdasarkan nasihat pakar-pakar antarabangsa daripada Kumpulan Kerja Strategi Pencarian.

Pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada pagi 8 Mac, tahun lepas.-- Bernama

MH370, Fugro Equator, Lautan Hindi

Artikel Lain