suria

107 Helai Baju T Southern Tigers Dirampas

JOHOR BARU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor merampas 107 helai baju T berjenama Southern Tigers bernilai RM3,000 dalam serbuan di sebuah premis di Kulaijaya, pada Selasa.

Pengarahnya, Nor Nekman Jaimon berkata serbuan dilakukan menerusi operasi cap dagangan itu bermula 12 tengah hari dengan membabitkan enam pegawai dan anggota penguatkuasa.

"Hasil serbuan sehingga pukul 2.30 petang mendapati premis tersebut ada menjual barangan berjenama Southern Tigers yang tidak mendapat kebenaran daripada pemilik cap dagangan iaitu Southern Tigers Sdn Bhd," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata kesemua baju T berkenaan kini disita dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

Dalam kes lain, Nor Nekman berkata pihaknya turut menyerbu sebuah premis pusat nyanyian karaoke KTV di Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram, di sini, Selasa kerana menggunakan salinan langgaran.

Beliau berkata serbuan pada pukul 12 tengah hari membabitkan enam pegawai dan anggota itu dilakukan selepas menerima aduan daripada wakil pemilik hak cipta, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengenai pemilikan dan penggunaan karya salinan langgaran iaitu lagu mereka di premis berkenaan.

"Hasil serbuan mendapati pemilik syarikat berkenaan sedang menjalankan perniagaan dan memuat turun lagu dengan disyaki menggunakan salinan langgaran perisian komputer milik pengadu," katanya.

Beliau berkata pegawai PPDNKK telah merekodkan keterangan seorang lelaki berumur 30-an yang merupakan pengurus premis itu dan beberapa pekerja.

Tindakan penguatkuasaan turut dilakukan dengan menyita satu set komputer disyaki mengandungi perisian komputer milik pemilik hak cipta dengan berjumlah 55,000 salinan langgaran.

Nor Nekman berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987.

Artikel Lain