suria

Polis Minta Bantuan Kedutaan Mongolia Dalam Kes Tembak

Wanita Mongolia yang menjadi mangsa tembakan masih menerima rawatan di PPUM.

PETALING JAYA: Polis sedang berhubung dengan Kedutaan Mongolia di Bangkok bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai seorang wanita warga Mongolia yang menjadi mangsa kes tembakan di Bandar Utama, Damansara, Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata pihaknya juga cuba mendapatkan maklumat daripada Jabatan Imigresen untuk menyiasat latar belakang mangsa.

"Kita telah berhubung dengan kedutaan berkenaan untuk mendapatkan kepastian berkaitan bukti-bukti yang kita ada...dan masih menunggu pengesahan daripada mereka.

"Polis yakin bahawa wanita itu bukanlah sasaran utama untuk kes ini, tetapi lelaki yang merupakan pemandu kenderaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelupusan barang kes (komputer/perjudian 2014) di Balai Polis Ara Damansara, Rabu.

Isnin lalu, seorang wanita Mongolia cedera parah akibat terkena empat das tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua lelaki yang menunggang motosikal di Bandar Utama, Damansara.

Mangsa masih lagi dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dilaporkan berada dalam keadan stabil.

Abdul Samah berkata buat masa ini tidak dapat membuat kesimpulan sama ada wanita tersebut merupakan teman wanita ataupun rakan perniagaan kepada pemandu terbabit.

Katanya polis melakukan siasatan menyeluruh terhadap pemandu tersebut dan tidak menolak kemungkinan penglibatan pemandu tersebut dalam kegiatan kongsi gelap di Sarawak.

"Kita sudah mempunyai beberapa maklumat berkaitan pemandu itu, seperti kes-kes yang pernah dia (pemandu) terlibat di Sarawak serta beberapa kes di sana yang mempunyai kaitan dengan kes ini," katanya.

Polis juga yakin dua suspek yang menembak mangsa masih bersembunyi dalam negara dan usaha menjejaki mereka masih dijalankan.
Kedutaan Mongolia, kes tembakan

Artikel Lain