suria

KKM Saring Bagasi, Bungkusan Pantau Ubat Dan Kosmetik Haram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan bagasi, bungkusan pos dan kurier di semua pintu masuk negara bagi mengelakkan ubat tidak berdaftar dan ubat haram dibawa masuk, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata orang ramai yang pulang dari luar negara pula hanya dibenarkan membawa bersama sebagai sebahagian daripada bagasi mereka apa-apa keluaran kesihatan bagi kegunaan sendiri atau ahli keluarga dalam kuantiti tidak melebihi kegunaan seorang untuk sebulan.

Katanya Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 (PKDK) menetapkan hanya keluaran yang berdaftar dan pengimport yang diberi lesen mengimport sahaja dibenarkan mengimport barangan terbabit ke negara ini.

"Secara amnya, orang ramai tidak dibenarkan mengimport ubat-ubatan yang tidak berdaftar sama ada melalui pos atau kurier," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Menurutnya, ia bagi melindungi orang ramai daripada peniaga tidak bertanggungjawab yang menawarkan ubat dan kosmetik terutama ubat perangsang seksual dan pelangsing badan yang mungkin dicampur dengan bahan aktif tidak dibenarkan atau memerlukan preskripsi pengamal perubatan dalam laman sesawang.

Dr Noor Hisham berkata saringan di pintu masuk negara dijalankan oleh pegawai penguat kuasa farmasi dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan ejen-ejen kurier seperti Pos Malaysia.

"Pegawai penguat kuasa farmasi memainkan peranan sebagai penasihat teknikal dan sentiasa bertugas bersama dengan pegawai JKDM dan pegawai Pos bagi memastikan tugas dilaksanakan mengikut prosedur operasi piawai dan peraturan yang dikuatkuasakan," katanya.

Menurutnya sejak PKDK diwartakan, sebanyak 48,145 jenis ubat terkawal, suplemen kesihatan dan ubat tradisional didaftarkan di Malaysia.

"Kuantiti ini mencukupi untuk mendiagnosis, mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit. Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan supaya hanya menggunakan ubat yang berdaftar dengan kementerian serta mendapatkan nasihat pengamal perubatan atau ahli farmasi sebelum menggunakan sesuatu ubat," katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat sebarang aduan atau pertanyaan mengenai pengimportan ubat-ubatan dan kosmetik, orang ramai boleh menghubungi Bahagian

Penguatkuasa Farmasi di talian 03-78413200 atau mana-mana pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri. 

Orang ramai juga boleh menyemak status sesuatu keluaran melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my atau www.bpfk.gov.my atau memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar android myHealth.

-- BERNAMA
KKM, Kosmetik, Ubat

Artikel Lain