suria

Adenan Mahu Bersara Selepas Lima Tahun

Tan Sri Adenan Satem
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata beliau hanya memerlukan lima tahun lagi untuk memimpin Sarawak sebelum bersara.

"Faktor umur dan kesihatan menghalang saya untuk memimpin Sarawak lebih daripada tempoh itu," kata Adenan ketika berucap merasmikan Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak Bahagian Kota Samarahan di sini, Isnin.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi memberi beliau mandat penuh lima tahun lagi sebagai ketua menteri bagi membolehkan beliau meneruskan usaha serta tugas-tugas yang masih belum sempat beliau tunaikan untuk rakyat dan negeri itu sejak dilantik sebagai ketua menteri pada 28 Feb tahun lalu.

Antara perjuangannya yang belum tercapai ialah untuk mendapatkan persetujuan kerajaan pusat untuk menaikkan peratusan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus serta mengurangkan jurang kemiskinan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Adenan, 71, berkata beliau telah memohon kepada kerajaan pusat untuk memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk pembangunan luar bandar Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Mengenai pendatang asing tanpa izin di Sarawak, beliau mahu supaya Jabatan Imigresen sentiasa membuat pemantauan serta mengambil tindakan tegas termasuk menahan dan menghantar mereka pulang ke negara asal.

Menurut Adenan, beliau menerima laporan bahawa terdapat rakyat Pakistan yang menjalankan perniagaan di negeri itu tanpa permit dan mahu supaya Jabatan Imigresen bertindak ke atas mereka.

Sementara itu, beliau menegaskan Sarawak tidak memerlukan parti politik dari Semenanjung Malaysia untuk datang ke negeri itu termasuk UMNO.

"Kita orang Sarawak tahu bagaimana untuk mentadbirkan negeri kita sendiri dan saya sudah beritahu Perdana Menteri sendiri bahawa kita tidak mahu UMNO datang ke Sarawak," tambahnya.

Katanya, beliau juga akan terus dengan dasar untuk menyekat kemasukan individu dan kumpulan ekstremis dari Semenanjung Malaysia ke negeri itu.
Tan Sri Adenan Satem

Artikel Lain