suria

Mohon Sijil Halal Sebelum Promosikan Bufet Sijil Halal

YAN: Semua pengusaha makanan di negara ini disaran untuk segera mengemukakan permohonan mendapatkan sijil halal sebelum mempromosikan Bufet Ramadan di premis masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata permohonan boleh dibuat melalui Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Di Jakim, kita ada kaunter khusus yang dapat mempercepatkan urusan permohonan sijil halal sempena Ramadan dan permohonan masih lagi dibuka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masjid-masjid Parlimen Jerai sempena Ramadan, di Masjid Kampung Batu 17, di sini, Sabtu.

Beliau berkata pengusaha yang menawarkan dan mempromosikan Bufet Ramadan tanpa memiliki sijil halal boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Jamil Khir berkata rakyat di negara ini sudah memahami konteks halal yang mana ia tidak hanya melibatkan bahan yang digunakan tetapi juga proses pembuatan serta aspek kebersihan sepanjang proses itu dilakukan.

"Apa yang menjadi kebimbangan ialah bukan sahaja dari sudut (premis) tidak memiliki sijil halal bahkan kita tidak mahu ada tempat (premis) yang menggantungkan sijil halal palsu.

"Jadi semua pengusaha makanan diingatkan agar tidak mengelirukan orang Islam dengan menawarkan Bufet Ramadan sedangkan mereka tidak memiliki sijil halal," katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, sebanyak 43 masjid di kawasan Parlimen Jerai masing-masing menerima sumbangan RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan untuk mengimarahkan kedatangan bulan Ramadan tahun ini.

Sijil Halal, Jakim

Artikel Sebelum

Artikel Lain