suria

"Guan Eng Gopoh" - Nik Amar

Mohd Amar Nik Abdullah.
PETALING JAYA: PAS sedia mengarahkan wakil parti itu dalam kerajaan Pulau Pinang supaya meletak jawatan sekiranya Majlis Syura memutuskan untuk menamatkan hubungan dengan DAP.

Naib Presiden PAS,  Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini keputusan mengenai perkara itu masih belum dimuktamadkan lagi.

"Kita akan tunggu keputusan Majlis Syura sebelum ambil tindakan. Sekarang Majlis Syura belum bersidang lagi.

"Selagi Majlis Syura belum buat keputusan, tidak ada apa-apa tindakan," katanya ketika dihubungi mStar Online  pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengatakan bahawa wakil PAS tanpa segan silu masih memegang jawatan kerajaan  di negeri itu.

Jelas beliau, sekiranya Majlis Syura bersetuju dengan usul Dewan Ulama supaya PAS memutuskan hubungan dengan DAP, maka parti Islam itu akan mengeluarkan arahan kepada wakil parti di Pulau Pinang supaya meletak jawatan.

"Jika Majlis Syura memutuskan begitu, maka kita akan turunkan arahan kepada ahli parti supaya keluar," katanya.

Malah, Mohd Amar turut membidas tindakan Guan Eng yang disifatkan sebagai terlalu gopoh untuk menyingkirkan wakil parti di negeri itu.

"Lim Guan Eng ni gopoh... apa yang dia nak sangat? Kalau dia rasa tak senang dia pecat sahajalah orang PAS tu, senang cerita," katanya.

Beliau turut mengingatkan Guan Eng bahawa kerajaan Pulau Pinang bukan milik DAP tetapi kerajaan itu dibentuk bersama Pakatan Rakyat.

"Nak menang di Pulau Pinang, nak menang di Selangor bukan satu parti. Ketiga-tiga parti ada sumbangan masing-masing. Jangan dia ingat kerajaan (Pulau Pinang) itu kerajaan DAP, itu kerajaan Pakatan Rakyat," tegasnya.

Ditanya mengenai kedudukan DAP dalam pakatan pembangkang yang akan diputuskan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada Isnin depan, Mohd Amar berkata, PAS enggan mencampuri urusan DAP.

"Ikut dia (DAP), kami tak nak ganggu. DAP buat keputusan dia, kami tak campur urusan dia," katanya.

Mohd Amar berkata, sekiranya Majlis Syura menetapkan untuk memutuskan hubungan dengan DAP, PAS masih lagi dalam Pakatan Rakyat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

"Kalau kita putus dengan DAP, kami masih dalam Pakatan Rakyat sebab dalam Pakatan Rakyat ada PKR, bukan ada DAP sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut mempertikaikan tindakan sekutunya yang terus mendesak PAS untuk keluar pakatan pembangkang.

"Kalut sungguh DAP ni, naik heran saya. Sekali nampak macam yakin dan berani benar, tapi asyik dok tekan PAS je supaya putus hubungan dengan dia. Macam tak yakin pula nak lafaz cerai terhadap PAS.

"Saya jadi perasan DAP ni perempuan, PAS jantan la pulak. Perempuan tak sah lafaz cerai. Tu dok minta fasakh tu. Come on la DAP, jadilah jantan juga. Pilih, be gentleman, cool macam PAS or berterus terang je, tolak PAS," kata Nik Abduh dalam laman Facebooknya.





PAS, DAP, Mohd Amar Nik Abdullah

Artikel Lain