suria

Wajib Sedia Tempat Duduk Khas Kanak-Kanak Pada 2019

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan mewajibkan penggunaan tempat duduk khas untuk bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan mungkin hanya boleh dilaksanakan pada 2019, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk melaksanakan undang-undang itu kerana tertakluk kepada beberapa prosedur.

"Ini termasuk proses advokasi kepada masyarakat untuk mendapat maklum balas mereka dalam tempoh dua tahun, selain dua tahun lagi untuk percubaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Penggunaan Sistem Penahan Kanak-Kanak di kementeriannya di sini, Khamis.

Beliau berkata Malaysia sebagai anggota Forum Dunia bagi Pengharmonian Peraturan-Peraturan Kenderaan (WP29), wajib mengadaptasi peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penanda aras tahap kualiti produk automotif yang dipasarkan.

Katanya bermula 1 Jan tahun ini, semua penyedia kenderaan diwajibkan menyediakan kelengkapan dan kemudahan untuk tempat duduk khas bayi dan kanak-kanak atau ISOFIX bagi kenderaan yang dihasilkan selepas tarikh itu.

Beliau berkata kesedaran tentang keselamatan dalam kalangan ibu bapa perlu ditingkatkan memandangkan statistik 2013 menunjukkan 53 kanak-kanak dan bayi terlibat dalam kemalangan dan daripada jumlah itu, 31 meninggal dunia.

"Pendaftaran kenderaan baharu turut meningkat kepada 1.5 juta setiap tahun dan ini penting untuk memberi kesedaran mengenai tempat khas kanak-kanak untuk dipraktikkan oleh masyarkat kita," katanya.

Ab Aziz juga meminta orang ramai untuk membeli tempat duduk khas yang diiktiraf dan memenuhi standard antarabangsa ditetapkan walaupun harganya dalam lingkungan RM600 hingga RM4,000 sebuah.

"Dengan permulaan kempen ini, saya berharap syarikat tempatan akan dapat menghasilkan tempat duduk kanak-kanak agar dapat dijual dengan harga yang lebih murah kerana kebanyakan tempat duduk kanak-kanak di pasaran adalah diimport," katanya.

Terdahulu, Ab Aziz meninjau kenderaan yang dilengkapi dengan ISOFIX di perkarangan kementerian serta mendengar sesi penerangan berkaitan cara penggunaan tempat duduk kanak-kanak di dalam kenderaan oleh wakil Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

JPJ, Pengangkutan

Artikel Lain