suria

Kerajaan Tidak Cadang Teruskan Operasi Gali Di Wang Kelian

Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk meneruskan operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian yang ditamatkan pada 8 Jun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pihaknya percaya polis telah selesai menjalankan kerja-kerja penggalian pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan itu.

"Mengapa kami perlu teruskan? (Walaupun) 139 kubur (telah ditemui) daripada keseluruhan 40 km kawasan sempadan tetapi kami tidak jumpa apa-apa.

"Setakat ini tidak ada kawasan kubur lain kecuali di Bukit Wang Burma, yang merupakan satu-satunya kawasan yang kami temui," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini Khamis.

Wan Junaidi berkata setakat ini ujian patologi sedang dijalankan ke atas kesemua mayat yang ditemui di kawasan terlibat

"Tidak dapat dinafikan prosesnya agak lambat sedikit untuk menguji sampel-sampel mayat. Sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan hasil kajian itu mungkin akan dihantar ke luar negara dan dapatkan bantuan daripada FBI (Biro Siasatan Persekutuan)," katanya.

Wan Junaidi berkata kerajaan Malaysia kini sedang bekerjasama dengan kerajaan Thailand bagi menyiasat dan menjejaki individu bernama 'Yassin' yang disyaki menjadi ejen sindiket pemerdagangan manusia di kawasan hutan Wang Kelian.

"Namun berdasarkan siasatan awal di kem-kem mendapati tiada bukti yang menunjukkan ada rakyat Malaysia yang terlibat kerana sisa-sisa peninggalan seperti khemah, baju, kertas dan plastik dibuat di Thailand," katanya.

Polis dalam kenyataan pada Isnin lalu mengumumkan operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang bermula 25 Mei lepas ditamatkan.

Setakat 8 Jun lalu, polis mengesahkan jumlah keseluruhan rangka mayat yang dikeluarkan 106.

Mayat tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk proses patologi.

Artikel Lain