suria

'Jangan Heret Saya Dalam Kemelut PAD-DAP' - Azmin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali meminta rakan sekutu,PAS dan DAP supaya tidak mengheret beliau dalam kemelut politik mereka yang disifatkannya seperti 'permainan kebudak-budakan'.

Menteri Besar Selangor itu berkata PKR lebih memberi tumpuan untuk memainkan peranan mengukuhkan kedudukan Pakatan Rakyat (PR) dan memenuhi aspirasi rakyat, termasuk di negeri Selangor.

"Jangan heret saya dalam permainan kebudak-budakan ini. Kita kena pikul amanah rakyat...saya akan membuat pilihan apa yang dipilih oleh rakyat, itu tanggungjawab saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar semalam yang mahu beliau memilih sama ada untuk bekerjasama dengan PAS atau DAP dalam mentadbir Selangor.

Ini susulan keputusan Dewan Ulama pada Rabu lepas yang sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Dalam pada itu, Pua berkata DAP Selangor akan berunding dengan Mohamed Azmin bagi melihat perkara itu dalam masa terdekat.

"Mungkin ada perancangan yang kita boleh terima juga, (namun) buat masa ini (kami) belum bincang lagi. Selepas itu akan bincang dengan memanggil mesyuarat DAP dalam peringkat pusat dan negeri, mari kita berbincang dengan MB (Menteri Besar)," katanya ketika ditemui pemberita.

Bekas Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin pula berpendapat sekiranya PAS ingin memutuskan hubungan dengan DAP, parti itu perlu bertindak untuk meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Kepimpinan baharu PAS perlu bersifat konsisten. Jika cadangkan usul diterima tanpa bahas untuk putuskan hubungan (dengan DAP), mereka perlu consider sama ada masih mahu berada dalam pakatan ataupun keluar," katanya.

Selangor, Azmin Ali, PAS, DAP

Artikel Lain