suria

Dua Hakim Mahkamah Persekutuan Antara 1,524 Penerima Darjah Kebesaran

PUTRAJAYA: Dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Zainun Ali adalah antara 1,524 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2015 sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sabtu.

Abu Samah dan Zainun merupakan antara 24 penerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Antara penerima lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Dr Ong Hong Peng dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Rebecca Fatima Sta Maria.

Turut dikurniakan PSM ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Datuk Haili Dolhan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, Pengerusi UNITAB Medic Sdn. Bhd., Tengku Abdullah Almarhum Sultan Abu Bakar, Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara, Datuk Oh Siew Nam dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Zainal Dahalan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Seri Abd Wahab Maskan, Ketua Pegawai Eksekutif Jesselton Waterfront Holdings Sdn. Bhd., Datuk Chu Sui Kiong, Pengasas NV Multi Corporation Bhd., Datuk Kong Hon Kong, Ketua Pengawai Eksekutif dan Pengasas Syarikat Phyto Science Sdn. Bhd., Datuk Seri Lai Teck Peng dan Pengarah Urusan LBS Bina Holdings Sdn. Bhd., Datuk Seri Lim Hock San.

Penerima PSM yang lain ialah Presiden dan Penasihat Kumpulan Syarikat BHL, Datuk Seri Lim Huah Leong, Pengerusi Eksekutif Malaysian Allied Health Sciences Academy Sdn., Bhd., (MAHSA), Datuk Prof Dr Mohamed Haniffa Abdullah.

Pengerusi Eksekutif A&M Realty Bhd. Datuk Ir Ng Boon Thong @ Ng Thian Hock, Penasihat Korporat KPJ Healthcare Bhd., Datin Paduka Siti Sa'diah Sh Bakir dan Pengarah See Hoy Chan Holdings Group, Datuk Dr Teo Chiang Liang. 

Selain itu, PSM turut dianugerahkan kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad, Ahli Biro Politik UMNO Pusat/Pengerusi Pusat Dagangan Dunia Putra, Datuk Seri Alies Anor Abdul, Naib Presiden MIC, Datuk Balakrishnan V.Sinnayah dan Bendahari Agung MCA, Datuk Seri Kuan Peng Ching @ Kuan Peng Soon.

Sebanyak 52 individu dikurniakan anugerah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk' antaranya Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Husni Zai Yaacob, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (PDRM), Datuk Seri Mortadza Nazarene.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PDRM), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim, dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Prof Dr Noor Azlan Ghazali.

Setiausaha Agung Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Lok Yim Pheng, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dr Wong Lai Sum, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd (Mhd) Amin Nordin Abd Aziz.

Sebanyak empat individu dikurniakan augerah Panglima Setia Diraja (PSD) yang turut membawa gelaran 'Datuk', antaranya ialah Setiausaha Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri, Kamis Samin, Setiausaha Bahagian Audit Dalam, Jabatan Perdana Menteri, Mariam Kholidah Zulkifi.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Bahagian Perkhidmatan Anggota, Markas Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan, Mej. Jen Datuk Azizan Md Delin.

Sebanyak 36 individu menerima anugerah Johan Mangku Negara (JMN), antaranya Pengarah Komponen Pertahanan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (EssCOM), Mej. Jen. Datuk Masrani Paiman. 

Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Datuk Zaitun Ab Samad, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, Pengarah Kanan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, Amirudin Abd Rahman dan Naib Pengerusi II Parti Makkal Sakti, V. Gopala Krishnan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan Kementerian Kewangan, Abd Wahid Ahmad antara 90 penerima anugerah Johan Setia Mahkota (JSM).

Anugerah Johan Setia Diraja (JSD) pula dikurniakan kepada Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela Bahagian Istiadat Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini.

Bagi anugerah Kesatria Mangku Negara (KMN) sejumlah 256 orang telah terpilih dan antaranya Konsul Malaysia ke Jeddah, Arab Saudi, Mohd Khalid Abbasi Abd Razak Khan Abbasi, Timbalan Pengarah Kastam (Bahagian GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Posiah Abu dan Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Mohd Yusoff Awang.  

Selain itu, anugerah Kesatria Setia Diraja (KSD) dianugerahkan kepada tiga orang penerima termasuk Haslinda @ Azlina Mohammad Tajudin, Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Istiadat dan Protokal Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa.

Sementara itu, dua pegawai berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) iaitu Ayu Dalita Pendek dan Nur Syuhada Shamsuddin merupakan antara 411 penerima anugerah Ahli Mangku Negara (AMN).

Turut menerima anugerah itu ialah atlet olahraga negara, Mohd Jironi Riduan, yang memenangi dua pingat emas dalam acara 800 meter dan 1,500 meter pada Sukan SEA ke-27 di Naypitaw, Myanmar.

Sebanyak 585 individu pula menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan 62 orang lagi disenaraikan sebagai penerima anugerah Bentara Setia Diraja (BSD).

Artikel Lain