suria

Hanipa Menangis Di Pentas Muktamar PAS

KUALA SELANGOR: Sesi ucapan penggulungan kepimpinan PAS menjadi medan beberapa calon yang kalah dalam pemilihan parti itu Khamis lalu meluahkan perasaan.

Paling mencuri tumpuan ialah bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin apabila beliau menitiskan air mata tatkala mengenang kembali sumbangannya dalam parti itu sejak menyertai PAS.

Hanipa yang juga bekas Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS tidak dapat menyembunyikan kesedihannya ketika bercerita mengenai seorang petugas PAS, Syed Mohamad Syed Hasan yang sudah meninggal dunia.

Menurut Hanipa, Syed Mohamad banyak membantu kumpulan Luham ketika sedang sibuk menyelesaikan kes perundangan hampir tiga per empat pemimpin PAS sedia ada.

Bagaimanapun Hanipa tidak sempat menghabiskan ceritanya bersama Syed Mohamad kerana gagal mengawal kesedihannya.

Suasana di dalam dewan persidangan Muktamar Tahunan PAS ke-61 juga menjadi sayu menyaksikan reaksi Hanipa itu sambil diiringi laungan takbir.

Melihat kepada keadaan Hanipa itu, Ketua Dewan Pemuda PAS yang baharu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz segera bangun membawa sekotak tisu untuk Hanipa.

Terdahulu, Hanipa memulakan ucapannya dengan berkata: “Saya berterima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan penggulungan selepas ‘digulung’ (kalah dalam pemilihan parti).”

Pada pemilihan sesi kepimpinan baharu PAS bagi sesi 2015-2017 Khamis lalu, Hanipa yang dilabel dalam kumpulan profesional pro-Pakatan Rakyat gagal mempertahankan kedudukannya dalam senarai 18 AJK PAS Pusat.

Sementara itu seorang lagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman turut menggunakan pentas Muktamar PAS bagi melahirkan rasa kecewanya dengan keputusan pemilihan parti kali ini.

Walaupun berjaya mempertahankan kedudukannya, Mazlan dilihat keseorangan dalam senarai kepimpinan baharu apabila semua pemimpin profesional pro-Pakatan Rakyat tewas.

Malah Mazlan turut memberitahu perwakilan bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai kedudukannya dalam masa beberapa hari lagi.

Beliau kemudiannya dilihat menangis kesedihan ketika berada di tempat duduk kepimpinan PAS di atas pentas.

Bagi Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, beliau turut memberikan ucapan selamat tinggal kepada kepada perwakilan berikutan gagal mempertahankan kedudukannya dalam senarai AJK PAS Pusat.

PAS, Muktamar PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain