suria

Gempa Sabah: Seorang Maut, Dua Cedera Di Gunung Kinabalu

Dr Rezlan dipapah anggota bomba sebaik tiba di kaki Gunung Kinabalu, Jumaat.

KUNDASANG: Seorang doktor warga Malaysia yang berjaya tiba di kaki Gunung Kinabalu mengesahkan sekurang-kurangnya seorang pendaki wanita terbunuh, manakala dua lagi cedera akibat gempa bumi yang melanda Sabah, pagi Jumaat.

Dr Rezlan Abdul Rahman dari Pahang itu berkata, beliau mengesan tiada denyutan nadi pada wanita yang disahkan terbunuh itu.

"Dua lagi wanita bersama mangsa mengalami kecederaan. Mereka masih lagi berada di Laban Rata ketika kami turun," katanya.

Dr Rezlan berkata, beliau dimaklumkan, ketiga-tiga wanita berkenaan sedang memegang tali dan gegaran akibat gempa itu menyebabkan mereka hilang keseimbangan.

"Mereka tergantung dan hayunan kuat telah menyebabkan mereka menghentam batu pada gunung tersebut mengakibatkan kecederaan itu," katanya.

Jabatan Meteorologi mengesahkan, gempa berukuran 5.9 Richter itu berlaku pada 7.15 pagi, Jumaat.

Selain Ranau, kejadian itu juga mengakibatkan gegaran dirasai penduduk di Kota Kinabalu, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat dan Beaufort.

Beberapa kerosakan teruk pada jalan raya dan juga bangunan turut dilaporkan berlaku. 



Gunung Kinabalu, gempa bumi, Sabah, Ranau

Artikel Lain