suria

"Niat Saya Temukan Tahanan Dengan Keluarganya Untuk Membantu" - Pegawai Polis

- Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Pegawai kanan polis wanita yang didakwa melepaskan seorang tahanan dikenali 'kasanova' memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa niatnya mempertemukan lelaki itu dengan keluarganya adalah untuk membantu.

ASP L. Chandkumary, 58, ketika memberi keterangan pembelaannya pada Khamis berkata pertolongan itu diberikan selepas keluarga K. Prabaharan, 47, datang dari Kuala Lumpur dan memohon kebenaran darinya untuk bertemu dengan lelaki tersebut berhubung kes yang dihadapinya.

"Saya membenarkan keluarga Prabaharan untuk bertemu dengannya berhubung kes yang dihadapinya dan pertemuan itu berlangsung di bilik pejabat saya di mahkamah ini (Mahkamah George Town)," katanya semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh.
Wanita itu berkata selepas pertemuan itu beliau kembali menghantar  Prabaharan ke lokap.

Sementara itu ketika disoal Charanjit sama ada terdapat mana-mana  peruntukan atau undang-undang yang membenarkan tahanan dibawa ke pejabat, Chandkumary berkata beliau berbuat demikian atas kapasiti sebagai seorang penjawat awam yang hanya berniat untuk membantu masyarakat.

"Saya berbuat demikian kerana untuk membantu keluarganya. Sebagai seorang penjawat awam, saya bertanggungjawab untuk membantu mereka," katanya.

Bagaimanapun pegawai polis itu bersetuju dengan Charanjit bahawa tidak ada peruntukan atau undang-undang yang membenarkan tahanan untuk bercakap dengan keluarganya semasa berada dalam tahanan polis. 

Pada 21 Oktober 2013, Chandkumary mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berhubung kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa sengaja melepaskan tahanan iaitu Prabaharan yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah George Town pada 9 Oktober 2013.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh yang diwakili peguam Danny C. Navarednam didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada pukul 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu.

Bagi pertuduhan pertama, Chandkumary didakwa mengikut Seksyen 225A (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 182 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Dianne Ningrad Nor Azhar bersambung 13 dan 14 Julai depan.

Artikel Lain