suria

Beza Agama Punca Pakatan Tolak Hudud - Dewan Ulama

Nik Mohd Zawawi Salleh

GOMBAK: Tentangan keras sekutu PAS dalam pakatan pembangkang berhubung pelaksanaan hukum hudud di negara ini berlaku ekoran perbezaan agama.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh berkata, PAS tidak berhadapan tentangan seumpama itu ketika awal penubuhan Pakatan Rakyat, kira-kira 10 tahun lalu khususnya pemimpin Cina yang beragama Buddha.

"Penganut Buddha tidak menyerang Islam atau perundangan kita.

"Bahkan kita mendengar daripada awal Konvensyen Pakatan Rakyat dahulu, ada kenyataan yang dikeluarkan DAP bahawa mereka bersedia bersama-sama dalam pelaksanaan Islam di negeri Kelantan.

"Bagaimanapun, arus baharu berlaku apabila pemimpin berbangsa Cina dan beragama Buddha ini mendekati Kristian,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini.

Nik Zawawi berkata, situasi dan keterbukaan masyarakat bukan Islam itu berubah apabila mereka mula mendekati Kristian.

"Apabila berada dalam kelompok agama ini (Kristian), mereka menaruh kebimbangan andainya Islam bertapak kukuh, pelaksanaannya akan membawa keamanan negara. Sebab itu mereka cuba menyerang dan melakukan macam-macam supaya Islam tidak disebarkan di negara kita.

“Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam DAP, ia juga berlaku  dalam MCA, parti Gerakan dan kumpulan masyarakat Cina yang berhijrah kepada agama Kristian.

“Sebab itu kita melihat sikap parti-parti politik yang mana pemimpin-pemimpin mereka ini berhijrah, tindakan mereka  berbeza berbanding pemimpin yang kekal beragama Buddha, mereka tidak banyak menyerang Islam,” katanya.

Artikel Lain