suria

Pulangan Hasil Pelaburan 1MDB Tidak Dapat Diraih Sekelip Mata - Ahmad Husni

KUALA LUMPUR: Pulangan daripada hasil pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam aset-aset tenaga serta tanahnya akan memakan masa untuk dinikmati berikutan status projek-projek berkenaan yang bersifat jangka panjang, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Bagaimanapun, tegasnya, media sebaliknya terlalu banyak memberi tumpuan terhadap aspek hutang yang dikumpul oleh syarikat pelaburan strategik negara itu iaitu sebanyak RM42 bilion.

"Jumlah RM42 bilion tersebut perlu dilihat bukan dalam konteks hutang semata-mata tetapi juga aset-aset, kos kewangan dan dana pemegang saham,"katanya menerusi rancangan Dialog Khas '1MDB : Dimana Wangnya' yang disiarkan disaluran TV1 di sini, Rabu malam.

Ahmad Husni turut menafikan dakwaan serta spekulasi yang dilontarkan oleh pelbagai pihak bahawa RM27 bilion daripada sejumlah RM42 bilion telah 'hilang' atau 'lesap' sedangkan wang berkenaan telah digunakan dalam bentuk pembelian aset oleh syarikat itu.

Terdahulu, 1MDB dalam satu kenyataan pada Rabu, telah mengeluarkan butiran terperinci penggunaan hutang RM42 bilion yang dinyatakan dalam akaun awam dan diaudit dari 31 Mac 2010 hingga 31 Mac, 2014. 

Hutang itu digunakan untuk membeli aset-aset tenaga dan tanah, perbelanjaan kewangan, deposit dalam dana pelaburan dan meninggalkan lebihan tunai sebanyak RM0.9 bilion, kesemuanya berjumlah RM41.8 bilion.

Ahmad Husni menjelaskan, 1MDB yang mempunyai modal berbayar sebanyak RM1 juta telah mengalami pertumbuhan yang pantas dalam tempoh enam tahun.

Ia juga, katanya, memiliki sejumlah 560 ekar tanah namun lambat memberi pulangan yang menjadikanya bergantung kepada pinjaman hutang.

Beliau berkata, penyenaraian Edra Energy di Bursa Malaysia pula tertangguh kerana kelewatan penyata kewangan disiapkan sehingga memaksa pelaksanaan pelan rasionalisasi yang melibatkan penjualan kepentingan dalam pemilikan aset-asetnya.

"Banyak pihak yang menunjukkan minat untuk membeli aset-aset tenaga 1MDB," katanya.

Mengulas mengenai laporan portal yang mangaitkan pembabitan individu bernama Jho Low dalam kemelut 1MDB, Ahmad Husni berkata individu tersebut tidak perlu 'diglamorkan' berikutan tiada pengesahan berhubung pembabitan beliau.

"Setakat ini, tidak ada pengesahan mengenai transaksi dengan Jho Low kerana PetroSaudi, syarikat kerjasama dengan 1MDB, telah membuat laporan polis di London menyatakan laporan portal itu tidak betul," katanya.

Terdahulu, beliau berkata pelaburan 1MDB dalam PetroSaudi adalah atas dasar 'perkongsian strategik' yang mana Prasarana Malaysia Bhd telah dilantik untuk mengendalikan operasi sistem Metro musim haji dari Arafah ke Mina, baru-baru ini.

Selain itu, Ahmad Husni turut mengesahkan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tidak hadir pada prosiding siasatan 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) minggu lepas disebabkan terikat dengan komitmen di luar negara berkaitan penyelesaian hutang syarikat berkenaan.

"Beliau telah pun mempunyai temu janji dengan BSI Bank Singapore dan institusi pemberi hutang bagi membincangkan penyelesaian hutang 1MDB berjumlah AS$1 bilion di luar negara ketika itu.

"Adakah wang AS$1 bilion yang akan menentukan masa depan 1MDB itu nak diketepikan?" katanya.

Ahmad Husni turut menafikan firma audit KPMG dan Deloitte bersubahat dengan menyembunyikan apa didakwa sebagai penyelewengan kewangan dalam 1MDB.

Malah, katanya, pelantikan sesebuah firma audit baharu adalah satu amalan biasa dalam aspek tadbir urus korporat.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan wujudnya konflik kepentingan membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

"Kita komited dalam menentukan hala tuju 1MDB pada masa hadapan dengan memperkemaskan lagi tadbir urus korporat," tegasnya. -BERNAMA

Artikel Lain