suria

Kes Enam Lelaki Rancang Keganasan Dipindah Ke Kuala Lumpur

ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad memerintahkan kes enam lelaki termasuk dua beranak dan seorang warga Indonesia yang menghadapi pertuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Ruzita Md Lazim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan  pihak pendakwa raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin.

Beliau berkata tarikh sebutan kes akan ditetapkan oleh Bahagian Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Pada 30 April lepas, Murad Halimmuddin Hassan, 49, dan anaknya Abu Daud, 25, Ali Saifuddin (warga Indonesia), Nor Azmi Jalani, 28, Mohd Yusri Mohamed Yusof, 27, dan Hadharami Hashim, 38, dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas  pertuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Mereka didakwa berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia antara 30 Jan hingga 5 April tahun ini di No. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang.

Tindakan mereka itu bertentangan dengan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan dan satu kesalahan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan boleh dihukum penjara 30 tahun serta denda.

Murad Halimmuddin juga berhadapan pertuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan pengganas pada 29 Mac tahun ini di alamat yang sama, mengikut Seksyen 130J(1)(b) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Nor Azmi diwakili peguam Shalehhuddin Salam manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Che Sharif Mat.

IS, Indonesia

Artikel Lain