suria

Maseu Rancang Tubuh Koperasi Bantu Kakitangan Diberhentikan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) merancang menubuhkan koperasi bagi menjana pendapatan dan membantu mendapatkan pekerjaan baharu bagi kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang bakal diberhentikan kerja dalam penstrukturan semula syarikat penerbangan itu.

Presiden MASEU Alias Aziz berkata koperasi yang dijangka mula beroperasi Ogos ini akan memudahkan sebarang permohonan bagi mendapatkan peluang pekerjaan baharu seperti permit teksi.

"Mungkin ada yang berminat memandu teksi, koperasi MASEU boleh memohonnya daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ... dijangka 300 permit akan dipohon kepada SPAD," katanya.

Beliau mengulas mengenai syarikat penerbangan itu dijangka mengeluarkan Notis Pemberhentian yang disertakan Surat Tawaran Bekerja dengan syarikat baharu Malaysia Airlines Bhd (MAB) kepada 20,000 kakitangan pada 1 Jun ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya setakat ini menerima pelbagai tawaran daripada agensi dan jabatan kerajaan serta swasta yang bersedia mengambil mereka bekerja termasuk perhotelan dan pemandu teksi.

Selain itu, Alias berkata Pusat Pembangunan Korporat (CDC) yang akan ditubuh mulai 1 Jun ini juga bersedia membantu pekerja MAS yang ditamatkan perkhidmatan.

Beliau berkata CDC bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan bagi menawarkan nasihat dan perundingan mengenai perancangan kewangan, pengurusan kredit, pelaburan serta keusahawanan.

"CDC akan bertanggungjawab untuk memastikan mana-mana staf mendapat kerja di tempat sesuai dan mana-mana kekosongan di badan berkanun, syarikat swasta atau agensi kerajaan lain termasuk perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya.

Bagi yang meminati perniagaan, katanya, mereka yang terbabit akan dibantu dari segi modal dan bimbingan usahawan di CDC yang terletak di Pulau Pinang, Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Pihaknya juga akan menubuhkan Persatuan Bekas Kakitangan MAS selepas pembubaran kesatuan itu bagi meneruskan usaha menjaga kebajikan mereka selain memastikan perancangan pelan pemulihan itu tidak mengabaikan mereka, katanya.

"Kita tidak mahu ada bekas-bekas kakitangan MAS yang diberhentikan kerja tidak mempunyai pekerjaan dan berada di bawah paras kemiskinan selain kakitangan di syarikat baharu mempunyai tugas dan pelan pemulihan dilaksanakan seperti dirancang," katanya.

Mengenai notis pemecatan dan pakej pemberhentian yang ditawarkan, Alias percaya semua kakitangan MAS telah bersedia menerima apa jua keputusan setiap tawaran yang bakal ditentukan syarikat baharu itu, Isnin ini.

"Keputusan itu dicapai selepas lima siri perbincangan bersama pihak atasan Khazanah, yang saya anggap berbaloi. Imbuhan baik kepada mereka yang masuk syarikat baharu sama ada kontrak dan dikatakan ramai akan diambil sebagai staf tetap," katanya sambil menambah bersedia menerima surat pemberhentian kerja selepas 34 tahun bekerja dengan MAS.

Antara 6,000 dan 8,000 kakitangan MAS daripada kira-kira 20,000 akan diberhentikan oleh Khazanah dalam tempoh setahun sebagai sebahagian daripada pelan RM6 bilion untuk mengecilkan syarikat penerbangan itu dengan memberi tumpuan kepada laluan jarak sederhana serantau.

Dua pertiga daripada kakitangan terbabit akan diambil semula oleh syarikat baharu, MAS Bhd, yang akan mula beroperasi pada 1 September.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS yang baharu, Christoph Mueller dipetik berkata setiap kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan akan mendapat bayaran asas bergantung kepada gred mereka dan tempoh perkhidmatan.

Mereka yang tidak ditawarkan pekerjaan dengan MAS Bhd juga layak untuk menerima bayaran ex-gratia manakala mereka yang ditawarkan bekerja pula akan mendapat bonus. 

Maseu, MAS

Artikel Lain