suria

Kes Culik Di Sandakan: Tebusan Sentiasa Diawasi

KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia yang diculik, Thien Nyuk Fun dan Bernard Then Ted Fun sentiasa diawasi puluhan lelaki bersenjata di sebuah kawasan pergunungan di Pulau Jolo, selatan Filipina.

Aktivis anti penculikan tempatan, Prof Octavio Dinampo berkata kumpulan bersenjata dari tiga kumpulan mengawasi Thien, 50, dan Bernard, 39, yang diculik dari restoran makanan laut Ocean King pada 14 Mei lalu.

Katanya, maklumat yang diperolehinya mendapati Thien dan Bernard tiba di Jolo pada 15 Mei dan mendarat di Talipao sebelum dibawa ke negara jiran, Indanan.

"Mereka sedang diawasi dan dalam keadaan selamat.

"Selain kumpulan Alhabsi, lelaki bersenjata yang mengawasi mereka termasuk kumpulan yang diketuai Harimau Ali dan satu puak yang berbalah dengan MNLF," katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pada Sabtu bahawa kumpulan bersenjata yang sentiasa mengawasi dua tebusan itu sentiasa berpindah untuk mengelak dikesan pasukan keselamatan Filipina.

Jalaluddin berkata keluarga Thien dan Bernard menerima tiga panggilan menuntut wang untuk membeli ubat-ubatan dan makanan bagi dua mangsa tebusan itu pada minggu lalu.

Beliau turut mengesahkan keluarga tebusan turut menerima wang tebusan tetapi enggan mendedahkan jumlah yang diminta kumpulan tersebut.
penculikan, Sandakan, Ocean King

Artikel Lain