suria

Raja Perlis Minta Saudara Baru Kekal Dalam Islam

Gambar hiasan.
KANGAR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menasihatkan golongan saudara baru supaya bersusaha meningkatkan keimanan mereka agar kekal dalam Islam.

Baginda bertitah ini kerana sejak kebelakangan ini wujud pelbagai bentuk dakyah dan pengaruh yang cuba melemahkan umat Islam khususnya mereka yang baru memeluk Islam supaya kembali kepada agama asal mereka.

"Namun saya yakin selagi saudara-saudara baru menguatkan iman, mereka tidak mungkin dapat mempengaruhi tuan-tuan dengan dakyah mereka," titah baginda semasa  menutup Konvensyen Saudara Muslim peringkat kebangsaan 2015 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kerajaan negeri Perlis di sini Ahad.

Konvensyen itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

Seramai 800 saudara baru menyertai konvensyen dua hari itu yang ceramahnya disampaikan antara lain Timbalan Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Dr Mushaddad Hasbullah dan Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah agar saudara baru mengekalkan hubungan baik dengan ibu bapa dan saudara mara mereka yang bukan Islam selagi tidak ia tidak menyentuh soal akidah, kepercayaan dan hukum halal haram.

Baginda bertitah agar saudara baru mendisiplinkan diri dan menjaga keislaman masing-masing untuk mendapat keredaan Allah dan jangan mudah terpengaruh dengan anasir yang mahu menggugat keimanan dan aqidah mereka.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan umat Islam termasuk saudara baru agar tidak terpengaruh dengan kumpulan yang mahu merosakkan akidah mereka khususnya kumpulan pengganas IS.

Konvensyen tersebut merupakan susulan konvensyen di Wilayah Persekutuan pada 2008 dan 2009, Terengganu (2001), Kelantan (2013) dan Johor (2014).

Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda, Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin menyampaikan Anugerah Saudara Muslim Cemerlang 2015 kepada Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah dari Pahang sementara Raja Perempuan menyampaikan anugerah kepada penerima wanita iaitu Norasikin Ong Abdullah dari Kelantan.

Mereka masing-masing menerima plak, sijil penghargaan dan wang tunai RM5,000.
saudara baru, Jakim, Raja Perlis

Artikel Lain