suria

Program 3K Dilancarkan Semula

P. Kamalanathan.

PUTRAJAYA: Anugerah Program 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Kesihatan) untuk mendidik pelajar dengan amalan gaya hidup sihat dilancarkan semula selepas dihentikan pada 2009.

Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan berkata ia merupakan satu gerakan kesedaran untuk mendidik gaya hidup yang sihat, aktif dan cergas dengan menggunakan nutrien susu sebagai asasnya.

Katanya pasukan daripada kementerian dan Dutch Lady Milk Industries Bhd akan bergerak ke sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara mulai bulan hadapan (Jun) untuk berkongsi pengalaman dan pendedahan agar dapat membuat penilaian sewajarnya.

"Penilaian merangkumi aspek pentadbiran dan pengurusan, kebersihan, kesihatan, keselamatan dan projek khas iaitu cabaran, cergas dan ceria.

"Selepas penilaian, penganugerahan berupa wang, sijil kecemerlangan dan piala pusingan akan diberi kepada 32 sekolah rendah dan menengah yang bertanding pada November ini," katanya ketika melancarkan semula program itu di sini Jumaat.

Beliau berkata, Universiti Putra Malaysia akan menjalankan kajian untuk melihat impak dan keberkesanan program itu.

Kamalanathan berkata Anugerah 3K yang dimulakan pada 1991 di peringkat sekolah rendah dan menengah, terpaksa dihentikan sejak 2009 kerana memberi keutamaan kepada fenomena yang melanda negara seperi jerebu, H1N1 dan banjir.

Sementara itu, Pengarah Urusan Dutch Lady, Saw Chooi Lee berkata separuh daripada 3,000 kanak-kanak Malaysia yang berusia 12 tahun ke bawah didapati mengalami kekurangan nutrien iaitu Vitamin D dan kalsium.

Perkara tersebut diumumkan dalam satu kajian selidik nutrisi, South East Asian Nutrition Surveys (SEANUTS), yang dilakukan oleh ibu syarikat Dutch Lady yang berpangkalan di Belanda, meliputi lebih 16,000 kanak-kanak dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam baru-baru ini.

"Hasil kajian SEANUTS juga menunjukkan isu berat badan yang berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak kini meningkat pada tahap yang amat membimbangkan terutamanya di kawasan bandar di Malaysia," katanya.

Justeru, Saw berharap melalui Program 3K, Dutch Lady dapat menyebarkan maklumat mengenai amalan gaya hidup sihat, antaranya pengambilan susu sebanyak dua gelas setiap hari serta menjalankan aktiviti luar selama satu jam untuk memperoleh kalsium dan vitamin D secara semula jadi.

Artikel Lain