suria

Gerakan Cari, Selamat Kru Kapal Korek Karam Temui Satu Mayat - APMM

Satu mayat ditemui ketika pasukan penguatkuasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kapal korek itu karam, Jumaat.

JOHOR BARU: Gerakan mencari dan menyelamat kru kapal korek Ocean Line SC208 yang karam di perairan Pengerang, pada Jumaat menemui satu mayat, dipercayai seorang daripada 14 mangsa.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, mayat lelaki yang belum dapat dikenal pasti identitinya itu, ditemui terapung pada pukul 3.45 petang di kedudukan 14 batu nautika dari lokasi kejadian.

"Mayat yang belum dapat dikenal pasti kewarnegaraannya itu telah dijumpai hasil maklumat yang diberikan kapal Kanata Spirit yang ternampak mayat di kawasan terbabit.

Mayat akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Jumaat.

Operasi mencari dan menyelamat pada hari ketiga diperluaskan ke kawasan berkedudukan 15 batu nautika dari tempat kejadian berbanding hanya lapan batu nautika semalam.

Tumpuan turut diberikan ke atas usaha mencari dan menyelamat mangsa  yang berkemungkinan terperangkap dalam perut kapal, selepas dipercayai tidak sempat melakukan apa-apa sewaktu kejadian berlaku.

Mustafa berkata, 18 penyelam daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditugaskan untuk melakukan penyelaman ke dalam perut kapal.

Bagaimanapun, setakat pukul 4 petang tadi, tiada penyelam yang berjaya memasuki bahagian itu ekoran arus air yang kuat, kata Leftenan Mohammad Noor, pegawai TLDM yang mengetuai penyelaman berkenaan, kepada Bernama.

"Keadaan air yang gelap beserta arus laju dan terdapat minyak dalam bahagian kapal menyukarkan pasukan kami untuk masuk.

Pun begitu, kami sempat melakukan kerja-kerja penandaan di sekeliling kapal," katanya, dan memberitahu mereka juga dibekalkan empat tong oksigen yang mampu bertahan selama tiga jam bagi kawasan air sedalam 10 hingga 15 meter.

Operasi mencari dan menyelamat kini masih diteruskan sehingga 7 malam ini untuk mencari baki 13 lagi mangsa yang hilang, sebelum disambung pada pukul 7 pagi esok. --Bernama

Ocean Line, Pengerang, APMM, kapal korek

Artikel Lain