suria

Tempoh 5 Tahun RMK11 Mencabar Berikutan Ketidakseimbangan Ekonomi

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) bermula 2016, pembangunan ekonomi dijangka lebih mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ketidaktentuan ini, yang sebahagian besarnya berpunca daripada unjuran harga minyak mentah dan komoditi utama lain yang rendah, selain risiko kelembapan ekonomi negara rakan dagang utama.

"Tempoh RMK11 bukan hanya merupakan kemuncak 30 tahun perjalanan menuju ke arah Wawasan 2020, malah menjadi platform untuk memacu pertumbuhan negara seterusnya.

"Cabaran seterusnya, pasca 2020 ialah untuk menjadi sebuah negara yang benar-benar maju dalam tiga dimensi, iaitu ekonomi, rakyat dan alam sekitar," katanya ketika membentangkan RMK11 di Dewan Rakyat di sini Khamis.

Perancangan lima tahun (2016-2020) ini disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

Pada peringkat domestik, beliau berkata usaha yang lebih bersepadu perlu diambil untuk melonjakkan produktiviti bagi memacu pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan kedudukan fiskal di samping memastikan peruntukan kerajaan yang mencukupi untuk terus menyokong perkembangan ekonomi.

Usaha juga akan diambil untuk meningkatkan pendapatan purata dan peratusan pendapatan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bagi mencapai matlamat inklusif sepenuhnya, kata Najib.

"Dalam tempoh RMK-11, peluang baharu untuk melonjakkan pertumbuhan perdagangan dan pelaburan akan terbuka terutamanya dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang menjadi pasaran tunggal yang mempunyai lebih daripada 600 juta pengguna.

"Pada peringkat domestik, Malaysia mempunyai penduduk berumur muda yang semakin meningkat, dengan umur penengah lebih kurang 30 tahun serta penduduk dalam kumpulan bekerja yang merupakan 70 peratus daripada jumlah penduduk," katanya.

Kelebihan demografi ini juga, katanya, akan menjadi penyumbang kepada pemesatan pertumbuhan ekonomi.

Beliau turut melihat kepelbagaian budaya dan etnik masyarakat Malaysia sebagai satu aset unit yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya dari segi hubungan yang telah lama terjalin dengan negara Islam, China dan India serta sebagai aset tarikan pelancongan.

RMK11, Najib Tun Razak

Artikel Lain