suria

Kadar Inflasi Dijangka Kekal Di Bawah 3%

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi negara dijangka kekal rendah di bawah 3.0 peratus, dan ekonomi diunjur tidak berubah pada tahap guna tenaga penuh sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Asas ekonomi makro Malaysia akan diperkukuh untuk mencapai pertumbuhan mampan dengan memastikan harga dan kadar tukaran asing yang stabil, dan tahap simpanan yang mencukupi sebagai sumber pelaburan, kata Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan rancangan lima tahun (2016-2020) itu di Dewan Rakyat di sini Khamis.

"Kerajaan juga akan menggalakkan penggunaan swasta, dan pelaburan swasta dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan bagi menerajui pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan eksport dengan menambah baik daya saing produk, menggalakkan eksport perkhidmatan dan mempelbagaikan pasaran. 

"Pengurusan fiskal yang lebih berhemat akan diperkenalkan untuk meningkatkan fleksibiliti fiskal, dan langkah bagi meningkatkan potensi produktiviti akan dilaksanakan bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan," katanya.

Dalam tempoh RMK11, keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar dianggarkan berkembang antara 5.0-6.0 peratus setahun manakala Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita dijangka mencapai US$15,690 (RM54,100), iaitu melebihi paras pendapatan minimum US$15,000 bagi ekonomi berpendapatan tinggi. 

"Sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menjelang 2020 dengan produktiviti buruh diunjur meningkat melalui peralihan yang berterusan daripada aktiviti ekonomi berintensif buruh kepada berintensif pengetahuan dan inovasi," katanya.

Laporan itu menyebut pertumbuhan ekonomi akan dipacu oleh sektor swasta dengan pelaburan swasta berkembang sebanyak 9.4 peratus setahun dengan semua sektor ekonomi akan mencatat pertumbuhan yang kukuh dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan menyumbang lebih daripada 75 peratus kepada KDNK.

Ia juga mengunjurkan sumbangan positif dari sektor luar kepada pertumbuhan berikutan pemulihan dalam eksport manakala akaun semasa imbangan pembayaran dijangka kekal mencatat lebihan sebanyak 2.6 peratus kepada PNK.

"Ekonomi negara adalah progresif, inklusif dan kalis cabaran pada masa hadapan dan mempunyai bandar bertaraf dunia yang produktif di samping kawasan luar bandar yang berkembang maju.

"Rakyat Malaysia dapat turut serta dalam arus pembangunan dan mendapat manfaat sepenuhnya daripada kemajuan ekonomi serta menikmati tahap kesejahteraan yang tinggi," katanya.

KDNK, RMK11

Artikel Lain