suria

'Hati Saya Tersentuh Lihat Keadaan Pelarian'

Antara pelarian warga Rohingya dan Bangladesh yang berada di Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik, Kedah.
SIK: Norhai Mat Shik bertugas sebagai jururawat selama 36 tahun tetapi keadaan di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram) yang dilihatnya di depan mata amat menyentuh hati.

Norhai, 60, adalah ketua Biro Kebajikan dan Kesihatan Persatuan Persaudaraan Muslimah, Malaysia (SALIMAH).

Pasukan perubatannya membantu merawat 1,158 pelarian warga Rohingya dan Bangladesh yang mendarat di perairan Langkawi pada minggu lalu selepas bot yang mereka naiki dihanyutkan sindiket penyeludupan manusia.

"Saya ditempatkan di wad semasa bertugas sebagai jururawat, jadi saya tidak melihat banyak kes kecemasan. Saya tidak berada di barisan hadapan ketika itu.

"Tapi pada kali ini, saya antara yang berada di barisan hadapan, jadi ia berbeza. Melihat mereka (pendatang asing) terutamanya wanita dan kanak-kanak... ia menyentuh hati saya.

"Ia sesuatu yang mencabar minda dan emosi," kata Norhai ketika dihubungi.

Beliau berkata amat sedih melihat kanak-kanak dan wanita yang kelihatan lemah dan kekurangan zat, malah ramai di antara mereka terlalu lemah untuk memegang tangannya.

"Terdapat juga seorang lelaki yang mengalami cirit birit dan dia tidak boleh berjalan dan hampir pengsan. Saya cuba untuk meletakkan diri saya dalam situasi mereka dan ia tidak tertanggung," kata Norhai.

Pasukan perubatan Salimah terdiri daripada tiga ketua jururawat bersara termasuk Norhai, seorang ketua kepada jururawat di hospital dan seorang doktor yang membantu beberapa pendatang asing yang tiba di Perlis dan semasa banjir di Kelantan tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Salimah Kedah, Masadah Sajadi, 59, yang turut menghulurkan bantuan di Lisram baru-baru ini berkata ramai wanita tidak tahu bagaimana untuk memakaikan lampin pakai buang kepada anak mereka.

"Kami terpaksa memberi tunjuk ajar kepada mereka.

"Saya memberikan coklat kepada kanak-kanak kerana ia dapat memberikan mereka sedikit tenaga tetapi saya tidak sangka golongan dewasa turut menghulurkan tangan untuk menikmatinya. Amat sedih apabila melihatnya," kata pesara guru itu.

Walaupun sudah bersara, Norhai dan Masadah berkata mereka tidak akan berhenti membantu mereka yang amat memerlukan.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai orang Islam untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan," kata Norhai.
Rohingya, Bangladesh, pelarian

Artikel Lain