suria

Persempadanan Sarawak: SPR Serah Kepada Jabatan Peguam Negara

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara sama ada untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 15 Mei lalu berhubung arahan semakan semula persempadanan bahagian pilihan raya negeri Sarawak.

Pengerusi SPR Tan Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini memandangkan kes semakan kehakiman terhadap suruhanjaya itu dan melibatkan kes mahkamah yang dikendalikan Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata SPR menghormati keputusan mahkamah pada 15 Mei itu apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Yew Jen Kie mengarahkan SPR mengeluarkan semula notis tentang persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak dengan mematuhi peruntukan dalam Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Tindakan SPR selanjutnya bergantung kepada keputusan sama ada rayuan akan difailkan atau tidak oleh Jabatan Peguam Negara," katanya dalam kenyataan, Khamis.

Abdul Aziz bagaimanapun memaklumkan sekiranya proses kajian semula persempadanan itu perlu dibuat semula, ia akan memakan masa yang lebih panjang di samping meningkatkan kos pengendalian.

Kos pengendalian bagi proses kajian semula persempadanan Sarawak itu melibatkan peruntukan kewangan RM800,000, katanya.

Abdul Aziz memaklumkan sepanjang proses kajian semula dijalankan, SPR menerima 64 bantahan pada pameran kali pertama dengan sebanyak 41 bantahan memenuhi peruntukan seperti dalam notis Syor-syor Persempadanan Semula bertarikh 5 Jan 2015.

Bagi proses bantahan pada pameran kali kedua, SPR menerima 22 representasi bantahan di mana 10 bantahan memenuhi peruntukan seperti dalam notis bertarikh 30 Mac.

"Di samping itu, sepanjang pameran kali pertama dan kedua, SPR menerima beberapa representasi sokongan terhadap syor-syor yang dipamerkan," katanya.

Beliau berkata bantahan yang diterima merangkumi pengundi dari seluruh Sarawak termasuk kawasan pedalaman dengan keseluruhan bilangan yang membantah mencecah 19,178 orang.

Abdul Aziz berkata SPR telah selesai menjalankan proses siasatan tempatan untuk pameran kali pertama serta kedua yang dihadiri 441 wakil pembantah dan ketika ini pihaknya sedang dalam proses penyediaan laporan akhir.

Katanya proses kajian semula persempadanan mengambil masa lebih kurang enam bulan sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan pindaan Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak untuk pertambahan bilangan kerusi DUN daripada 71 kepada 82. 

Sarawak, SPR

Artikel Sebelum

Artikel Lain