suria

Bangunan Mesra Alam Menjelang RMK11

Fadillah Yusof

PETALING JAYA: Bangunan baharu kerajaan akan menerapkan ciri dan reka bentuk hijau, serta menggunakan bahan binaan mesra alam selaras strategi pembangunan infrastruktur secara holistik dan mampan pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fokus baru ke arah menjamin daya tahan bangunan daripada ancaman perubahan iklim serta cuaca ekstrim akan dilaksanakan berdasarkan Skim Penarafan Hijau Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jelas beliau, menerusi dasar penggunaan dan pengeluaran mapan yang digerakkan bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU), bangunan kerajaan sedia ada akan diretrofit secara berperingkat.

"Kementerian komited untuk terus melaksanakan dan memperkukuh dasar sedia ada untuk terus memartabatkan industri pembinaan serta berdaya saing di peringkat global.

"Menjelang tempoh pelaksanaan RMK11 juga, industri pembinaan Negara dijangka terus berkembang dan strategi tumpuan utama ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur berimpak tinggi," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, dasar penggunaan dan pengeluaran mapan itu bertujuan mengukuhkan dasar sedia ada, mengurangkan penggunaan sumber asli, mengurangkan pengeluaran asap, bahan buangan dan pencemaran lain sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan.

"Menerusi kerangka dasar ini, industri pembinaan akan menjadi sektor utama yang akan diketengahkan," katanya.

Beliau mengulas pembentangan RMK11 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pagi Khamis yang menjurus kepada “pertumbuhan berpaksikan rakyat” serta dilihat sebagai pusingan akhir (final lap) perancangan 5 tahun kerajaan sebelum kita mencapai status negara maju seperti mana yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.

Terdapat enam strategi tumpuan dalam RMK11 dan strategi kelima iaitu pembangunan infrastuktur menjadi tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh Kementerian Kerja Raya selaku peneraju sektor pembinaan Negara.

Kata Fadillah lagi, terdapat lima projek utama yang diselia kementeriannya dibentangkan iaitu Projek Lebuhraya Pan Borneo, Projek Central Spine Road (CSR), Lebuhraya Kota Bahru-Kuala Krai, Projek Lebuh Raya Pantai Barat dan pembinaan rangkaian jalan di dalam Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang.

"Kementerian akan memastikan projek-projek ini akan dilaksanakan mengikut piawaian dan standard yang ditetapkan.

"Ia juga projek pembinaan akses yang terbesar dalam RMK11 dan dijangka memberi impak positif kepada rakyat, seterusnya membuka ruang dan peluang ekonomi kepada rakyat sehinggalah kepada pemain industri pembinaan," katanya.



RMK11, Fadillah Yusof, Pengerang

Artikel Lain