suria

Komuniti ESSZone Diminta Tidak Panik Dengan Kes Culik Di Restoran

Restoran makanan laut Ocean King di Pasir Putih terletak di pinggir bandar Sandakan.

SANDAKAN: Anggota Dewan Undangan Negeri Sekong Datuk Samsuddin Yahya menasihati komuniti pesisir pantai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) supaya tidak takut dan panik berikutan kejadian penculikan di Restoran Ocean King dekat sini, dua hari lepas.   

Katanya ini kerana pasukan keselamatan termasuk anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sentiasa mengawal keadaan termasuk mempertingkat aspek risikan.   

"Bukan mudah mengawal perairan ESSZone yang luas iaitu sejauh 1,733.7 kilometer dan mempunyai lebih 360 buah pulau yang boleh dijadikan tempat persembunyian," katanya ketika berucap pada Program Membara UMNO di Kampung Tronglit, Pulau Timbang dekat sini, Sabtu.   

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk pesisir pantai khususnya ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya bekerjasama dengan pasukan keselamatan termasuk melaporkan kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing.   

"ESSCom amat memerlukan kerjasama daripada kita bagi memastikan perairan ESSZone sentiasa dalam keadaan selamat. Tanpa maklumat daripada penduduk, sukar bagi pasukan keselamatan (untuk menjalankan tugas) termasuk mengesan penjenayah.  

Sambil meminta mereka supaya tidak memberi pertolongan kepada individu tidak dikenali atau pendatang asing tanpa izin, Samsuddin berharap rakyat juga tidak menuding jari kepada pasukan keselamatan termasuk ESSCom yang bertanggungjawab menyelaras operasi keselamatan dan pertahanan di ESSZone.   

Pada Khamis lepas, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King dan menculik seorang wanita dan seorang lelaki dengan disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak.

Mereka ialah Thien Nyuk Fun, 50, ialah kakak ipar pengurus restoran itu manakala Bernard Ghen Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja.

ESSZone, Datuk Samsuddin Yahya

Artikel Lain