suria

KKM Kaji Kapsul Daun Sari Daun Betik Rawat Demam Denggi

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menjalankan kajian untuk menghasilkan kapsul daripada sari daun betik bagi merawat demam denggi, kata timbalan menteri berkenaan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya pada Sabtu.

Beliau berkata berdasarkan kajian awal, pihaknya mendapati sari daun betik mampu meningkatkan platlet darah dalam tubuh pesakit demam denggi dengan lebih cepat.   

"Pengambilan produk jus minuman berasaskan daun betik sebagai rawatan alternatif untuk demam denggi juga dipercayai mampu mempercepatkan proses penyembuhan bagi pesakit denggi.   

"Sebab itu, Kementerian Kesihatan menjalankan kajian untuk menghasilkan kapsul daun betik bagi mempelbagaikan rawatan alternatif untuk merawat demam denggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad di Kampung Rusa di sini.

Kementerian juga akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan bagi menjalankan projek menanam pokok betik supaya bekalan daun betik diperoleh dengan mudah.

"Hasil tanaman itu akan digunakan untuk menghasilkan jus atau kapsul daripada sari betik untuk digunakan sebagai rawatan alternatif kepada pesakit demam denggi," katanya.   

Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata demam denggi di seluruh negara sejak Januari hingga 15 Mei lepas mencatatkan 42,646 kes berbanding 31,866 kes bagi tempoh sama tahun lepas.   

Bagi tempoh sama di Pulau Pinang, kes demam denggi meningkat tiga kali ganda iaitu sebanyak 1,927 kes berbanding 679 kes tahun lepas.   

"Walaupun jumlah kes denggi secara keseluruhannya meningkat, namun statistik mingguan terkini merekodkan sebanyak 1,500 kes berbanding 3,500 kes denggi yang direkodkan setiap minggu di seluruh Malaysia sebelum ini," katanya.   

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya meneruskan usaha bagi mencegah pembiakan aedes serta mengurangkan risiko jangkitan demam denggi di negara ini.   

Orang ramai juga digalakkan bergotong-royong dan membersihkan rumah masing-masing untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes, katanya.

Kapsul, sari daun betik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain