suria

Anak Lelaki Najib Nafi Ada Kaitan Dengan UFun

Mohd Nazifuddin Najib.

PETALING JAYA: Mohd Nazifuddin Najib, anak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan terlibat dengan syarikat pemasaran pelbagai peringkat UFun yang mencetuskan kontroversi.

Mohd Nazifuddin menyifatkan sebuah video tersebut yang menjadi viral mendakwa penglibatan beliau dengan UFun sebagai serangan fitnah peribadi dalam usaha untuk menjejaskan reputasi dan namanya.

"UFun menggunakan nama saya untuk menipu pembeli bagi menggalakkan mereka mendaftar dalam skim Ponzi mereka.

"Saya tidak terlibat dengan kumpulan tersebut dan sudah membuat laporan polis, memberitahu Bank Negara dan kedutaan Thai mengenai insiden tersebut apabila saya mendapat tahu mengenainya beberapa tahun yang lalu.

"Saya meletak jawatan sebagai pengarah dan pengerusi Kumpulan Sagajuta pada 31 Mei 2012, sebuah syarikat yang didakwa ada kaitan dengan UFun," kata Mohd Nazifuddin dalam satu kenyataan pada Khamis.

UFun mencetuskan kontroversi di Thailand kerana didakwa menipu lebih 100,000 mangsa di seluruh dunia.

Pihak berkuasa Thai dan Malaysia menjalankan operasi untuk mengesan dalang di sebalik skim tersebut.

Beberapa individu telah ditahan semasa siasatan berhubung skim itu.

Polis Thai turut mencari tiga warga Malaysia yang melibatkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan UFun, Datuk Daniel Tay.

Dalam dua video di laman sosial YouTube baru-baru ini, Tay menafikan dakwaan syarikat beliau terlibat melakukan penipuan.

Mohd Nazifuddin berkata insiden tersebut merupakan 'pengalaman malang' kerana beliau secara tidak sengaja menjadi mangsa buli siber.

"Saya tidak akan terkesan dengan perbuatan berniat jahat untuk memfitnah dan membunuh karakter saya," katanya.

UFun, Mohd Nazifuddin Najib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain