suria

Bicara Kes Saman Keluarga Aminulrasyid Ditangguh 6 Julai

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan kepada 6 Julai untuk menyambung perbicaraan kes saman sivil terhadap pihak polis dan kerajaan yang dikemukakan oleh keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang mati terkena tembakan seorang anggota polis, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan sedemikian selepas peguam N. Surendran yang mewakili keluarga remaja lelaki itu memaklumkan bahawa saksi pihak plaintif iaitu seorang pegawai polis tidak dapat menghadiri perbicaraan yang ditetapkan pada Jumaat kerana menduduki peperiksaan.

Pada masa sama, Surendran turut memaklumkan seorang lagi saksi plaintif yang merupakan seorang wartawan tidak dapat hadir kerana cuti bersalin.

"Kedua-dua saksi ini adalah saksi terakhir pihak plaintif untuk kes ini," katanya.

Saman sivil tersebut difailkan bagi menuntut ganti rugi hampir RM50 juta atas dakwaan kematian Aminulrasyid akibat luka tembakan di kepala berpunca daripada kecuaian Koperal Jenain Subi.

Dalam saman itu, ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, 66, dan kakak sulung Aminulrasyid, Nor Azura, 45, selaku plaintif menamakan Jenain, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid ketika mengejarnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Ketika membebaskan Jenain pada 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Jenain tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid, tetapi menembak kereta yang dipandu remaja berumur 15 tahun itu dengan tujuan menghentikannya.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam Zulkifly Omar yang mewakili Jenain dan Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub yang mewakili defendan-defendan lain.

Aminulrasyid Amzah

Artikel Lain