suria

Sultan Selangor Sampai Anugerah Kepada 17 Pensyarah UPM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan Anugerah Kategori Penyelidik Muda (kluster Sains dan Teknologi) kepada Dr Amimul Ahsan dari Fakulti Kejuruteraan pada majlis Gemilang Akademia Putra ke-7 Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Khamis. Seramai 17 pensyarah dan penyelidik UPM menerima anugerah pada majlis tersebut

SERDANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis berkenan menyampaikan Anugerah Fellowship Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada 17 pensyarah dan penyelidik universiti itu.

Anugerah yang mengiktiraf usaha penerokaan dan pengembangan ilmu serta perkhidmatan pendidikan itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu pengajaran; penyelidikan dan inovasi; perkhidmatan profesional; dan perunding cemerlang.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata universiti hari ini tidak hanya menjadi medan membentuk generasi muda berilmu dan berwawasan tetapi juga menghasilkan penyelidikan berkualiti, penerokaan ilmu dan menjana pendapatan negara.

"Para penyelidik dan pensyarah universiti tidak lagi hanya melaksanakan penyelidikan yang berteraskasn bidang akademik semata-mata, sebaliknya membawa hasil penyelidikan ini untuk manfaat rakyat dan kemakmuran negara," katanya pada Majlis Gemilang Akademia Putra Ke-7, di sini.

Sementara itu, penerima anugerah pengajar muda Dr Hafandi Ahmad, 35, berkata pengiktirafan itu menaikkan semangatnya untuk terus melakar kejayaan dalam bidang penyelidikan perubatan veterinar.

"Saya berasa bangga dalam masa empat tahun saya dapat menang anugerah ini dan saya berhasrat untuk mengembangkan penyelidikan terhadap penyakit Alzheimer dan Parkinson serta berkongsi penemuan saya kepada manusia," katanya yang pernah memenangi anugerah saintis muda di Jepun.

Bagi penerima anugerah perunding cemerlang, Prof Dr Chan Swee Heng berkata anugerah itu adalah pengiktirafan untuk projek perundingan Ujian Bahasa Inggeris untuk juruterbang yang turut diiktiraf oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Pelbagai cabaran yang dihadapi untuk menghasilkan projek ini dan kami amat berbangga apabila ia mendapat pengiktirafan," katanya.

Sultan Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain