suria

Jawatankuasa Khas Pantau Infrastruktur Pendidikan Sabah, Sarawak

KOTA MARUDU: Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata Jawatankuasa Teknikal Kabinet mengenai Bumiputera di Sabah dan Sarawak, yang bermesyuarat pada Selasa (12 Mei), membuat keputusan bahawa jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

"Jawatankuasa khas akan berfungsi untuk memantau pelaksanaan semua infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak termasuk memastikan projek yang dirancang dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan dan selaras dengan keutamaan.

"Ini termasuk bekalan air bersih dan penyelenggaraan bekalan kuasa solar hibrid di sekolah-sekolah luar bandar yang dilaporkan tidak berfungsi," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Tandek di sini, Khamis.

Ongkili mempengerusikan secara bersama Jawatankuasa Teknikal Kabinet mengenai Bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Skop Jawatankuasa Teknikal termasuk kedudukan kaum minoriti Bumiputera di kedua-dua negeri dalam perkhidmatan awam, kemudahan kesihatan, infrastruktur asas, pendidikan dan kemiskinan.

Ongkili, yang juga anggota Parlimen Kota Marudu, berkata keperluan di Sabah dan Sarawak masih besar dan jurang wujud antara tahap kemudahan yang disediakan di sekolah-sekolah di kedua-dua negeri itu berbanding dengan sekolah di  Semenanjung. 

Sementara itu, beliau menyeru guru-guru dan ibu bapa supaya memainkan peranan dalam pembangunan peribadi pelajar dan kejayaan akademik kerana pendidikan adalah penting untuk transformasi ekonomi luar bandar dan pembangunan negara.

"Kami memerlukan guru-guru yang terlatih dan komited serta ibu bapa yang menganggap pendidikan sebagai pelaburan untuk anak mereka pada masa depan.

Kejayaan pelajar juga dicapai melalui kerja keras dan disiplin," katanya.

Ongkili berkata, kerajaan akan terus meningkatkan pelaburan dalam sektor pendidikan dengan menambah baik infrastruktur asas seperti menyediakan bilik darjah yang moden, guru terlatih, makmal sains serta bekalan air dan elektrik.

Artikel Lain