suria

1MDB Cuba Cagar Minyak Dan Gas Terengganu - Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendedahkan bahawa Terengganu Investment Authority (TIA) yang kini dikenali 1Malaysia Development Berhad (1MDB) cuba mencagar hasil minyak dan gas negeri itu.

"IMDB yang sebelum ini dikenali TIA bukan agensi yang modalnya berbayar, saya dan kerajaan negeri yang bayar.

"Tetapi kerajaan negeri mengesan ada hanky-panky (perkara yang tidak betul) yang sedang berlaku, lebih-lebih lagi apabila mereka cuba memajak minyak dan gas di Terengganu," katanya.

Ahmad  berkata, perkara ini dan beberapa lagi faktor memaksa beliau menarik diri, malah turut dimarahi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Tazak) kerana perkara ini.

TIA ditukar kepada 1MDB pada 2009 selepas kerajaan persekutuan mengambil alih.

Ahmad menjawab soalan lisan Satiful Bahri Mamat (PAS-Paka) mengenai hubungan 1MDB dengah Kerajaan Negeri Terengganu di Dewan Undangan Negeri pada Selasa.

Antara isu-isu lain yang dibangkitkan melibatkan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dan medan minyak Bertam.

Ahmad berkata, Terengganu perlu mendapatkan 25 peratus daripada keuntungan projek ini kerana negeri telah membuat pelaburan RM1 bilion.

"Saya tidak tahu kos sebenar lebuh raya tetapi saya telah dimaklumkan bahawa ia menelan belanja RM4 bilion.

"Saya berharap kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan persekutuan terutama sekarang PLUS yang diberi tanggungjawab untuk mengutip tol bermula September ini," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu.

Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan negeri telah membincangkan pengagihan pendapatan yang dijana daripada tol dengan kerajaan persekutuan.

Mengenai medan minyak di Bertam yang baharu ditemui di Blok PM307, 120km terletak dari Pantai Geliga, Kemaman, Ahmad berkata: "Perdana Menteri telah menjawab bahawa ia ditemui di Pahang dan saya ingin menafikannya kerana ia adalah hak Terengganu.

Beliau menyebut syarikat minyak dari Sweden, Lundin Petroleum yang menemui kawasan itu dan kini berjaya mengeluarkan hasil pada 4 April lalu.

Beliau juga menuntut penjelasan penuh daripada kerajaan negeri ke atas keuntungan yang diperolehi oleh negeri ini.

"Kami adalah salah satu pengeluar tenaga terbesar di negara ini tetapi kita tidak mendapat keuntungan yang kita jangkakan," kata beliau.

Ahmad Said, IMDB, TIA, minyak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain