suria

Mangsa Gempa Nepal Perlukan Bantuan

CYBERJAYA: Khemah, selimut tebal, makanan kering sedia dimakan, barangan perubatan dan bantuan kewangan adalah antara bentuk sumbangan keutamaan yang diperlukan untuk mangsa gempa bumi di Nepal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata  sumbangan itu bersesuaian dengan keadaan semasa memandangkan kebanyakan mangsa kehilangan rumah dan berdepan masalah kekurangan bahan bakar sejak gempa bumi melanda Nepal pada 24 April lepas.

Beliau berkata barangan berkaitan boleh dihantar ke pusat pengumpulan barangan bantuan kemanusiaan Malaysia ke Nepal di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti dekat sini.

Ia juga boleh dihantar ke pusat pengumpulan bantuan di ruang legar Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur atau kedai serbaneka KK Mart di seluruh negara, katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat pengumpulan barangan bantuan itu di Markas SMART dekat sini, Isnin.

"Bantuan kewangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Muamalat bernombor 16010000318713 atas nama Setiausaha Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Terdahulu, Shahidan menerima bantuan berupa barangan keperluan asas seberat 35 tan sumbangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Malaysia-Nepal Business Council, MERCY Malaysia, Yayasan Patriot Negara Malaysia, Yayasan MyNADI, Pertubuhan Hindudharma Maamandram Malaysia, Julie's Biscuit dan rangkaian kedai serbaneka KK Mart.

Shahidan berkata barangan yang dikumpul akan dihantar sekurang-kurangnya dua kali sehari oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan Malindo tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Tragedi gempa bumi itu, yang disifatkan paling buruk pernah melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun, dilaporkan mencatat lebih 5,000 kematian dengan kecederaan melebihi 8,000 orang.

Gempa Bumi, Nepal

Artikel Lain