suria

Azmin Minta Ongkili Tetapkan Tarikh Selesai Isu Perjanjian Air

Azmin Ali.

KUALA SELANGOR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menetapkan dengan secepat mungkin tarikh untuk kedua-dua pihak menyelesaikan pertikaian berhubung penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Selangor.

Mohamed Azmin berkata, pertikaian itu termasuk mengenai tuntutan kerajaan persekutuan untuk mengambil alih aset Selangor di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Saya hanya berpegang kepada perjanjian yang ditandatangani. Kalau ada pandangan berbeza, elok kita bincang," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek untuk membiayai program 'Hijrah Selangor' di sini, Ahad.

Menurut laporan media, tarikh untuk memuktamadkan cadangan pengambilalihan konsesi air daripada Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) oleh kerajaan negeri tertangguh sebanyak tiga kali.

Pada mulanya, urusan itu dijadual dimuktamadkan pad 9 Februari, kemudian ditunda kepada 9 Mac dan seterusnya kepada 9 April. Tarikh terbaru ialah esok (11 Mei).

Ditanya sama ada Kerajaan Selangor akan menggunakan saluran undang-undang untuk menyelesaikan kebuntuan berhubung perjanjian itu, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak nampak keperluan berbuat demikian memandangkan kerajaan negeri dan kerajaan pusat bersetuju dengan terma dan syarat tertentu berkaitan isu itu.

perjanjian air

Artikel Lain