suria

Presiden TI-M Gesa TH Dedah Maklumat Kewangan Beli Tanah Dari 1MDB

PETALING JAYA: Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar menggesa supaya Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan semua maklumat kewangannya berkaitan dengan pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah penting kerana fungsi utama TH adalah menyediakan kemudahan simpanan untuk orang Islam mengerjakan haji, maka dengan itu sebarang urusan seperti pelaburan, membelanjakan untuk pembelian tanah dan tawaran lain perlu dibuat secara telus dengan menyediakan maklumat itu kepada orang ramai.

"Ia juga akan mengelakkan kebocoran mengenai perjanjian itu di media sosial. Kurangnya keterbukaan dan ketelusan dalam pelaburan bernilai tinggi akan menyebabkan terdedahnya kepada elemen rasuah.

"Apabila keputusan pelaburan tidak dikendalikan mengikut prosedur yang ketat, terbuka dan telus, ia boleh menyebabkan peluang yang sangat menguntungkan untuk memperkayakan diri buat pegawai-pegawai yang terlibat dalam proses membuat keputusan," katanya sambil menambah bahawa sebarang bentuk rasuah perlu ditolak.

Beliau berkata, bagi mengelakkan amalan perolehan yang berlebihan, pembaziran dan rasuah, tahap ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi amat diperlukan dalam membuat penilaian dan peruntukan.

"Adalah mustahak bagi TH memastikan langkah-langkah tadbir urus yang kukuh dan menyediakan amalan pengawasan supaya semua aktiviti pelaburan mematuhi standard tadbir urus yang tinggi dengan menyediakan proses membuat keputusan secara terbuka.

Tabung Haji, 1MDB, Akhbar Satar

Artikel Lain