suria

Sebanyak 286 Aduan Penyelewengan Dana Banjir - Mustafar

KOTA BARU: Sejumlah 286 aduan diterima Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir bermula 13 Januari sehingga Sabtu melibatkan pelbagai salah laku dan penyelewengan bantuan banjir.

Timbalan Ketua Pesuruhanjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali berkata daripada jumlah itu, sebanyak 39 panggilan yang diterima adalah aduan berkaitan rasuah dan penyelewengan dana.

"Siasatan telah dibuat mengikut Akta SPRM 2009. Bagaimanapun tiada kes dikemukakan di mahkamah kerana kita masih melihat kepada penambaikan sistem (pengurusan dana).

"Bukan mereka tidak melakukan kesalahan tetapi kita melihat sistem keseluruhan masih perlu diperbaiki kerana daripada penelitian dan siasatan, wujud kelemahan dalam prosedur yang akan kita susun kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir di Kompleks SPRM Negeri Kelantan di sini, Ahad.

Mustafar berkata antara isu yang dikenalpasti melalui siasatan yang dilakukan termasuk pendaftaran nama mangsa tidak lengkap, syarat permohonan tidak jelas serta kekeliruan penyelarasan sumbangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan peruntukan kerajaan.

Sementara itu, katanya jawatankuasa itu juga berjaya menyelamatkan kira-kira RM50,000 dana bantuan banjir yang disalurkan kerajaan Persekutuan selepas kira-kira 100 pemohon bertindak membatalkan permohonan bantuan wang ehsan.

Beliau berkata pemohon bertindak membatalkan permohonan itu selepas SPRM melampirkan Borang Akuan Tuntutan Palsu di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Apa yang penting daripada penguatkuasaan akta itu adalah peningkatan intergriti (pemohon) kerana selepas kita beri taklimat, ada yang mengembalikan borang permohonan dan ada (penerima) yang mengembalikan wang tersebut.

"Jumlah keseluruhan sebenar dana yang berjaya diselamatkan belum dapat dimuktamadkan memandangkan pengagihan (wang ehsan) masih berjalan," katanya.

Menurutnya, sehingga kini seramai 71,190 daripada 90,000 senarai nama penerima yang menjadi mangsa banjir di Kelantan telah menerima pengagihan bantuan wang ehsan berkenaan. -- Bernama

SPRM, banjir, Mustafar Ali

Artikel Lain