suria

Hari Ibu: Janet Berhasrat Lihat Michelle Yeoh Berkahwin

Janet berhasrat melihat Michelle Yeoh berkahwin dengan Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Datuk Jean Todt.

IPOH: Datin Janet Yeoh melahirkan hasrat untuk melihat anak perempuannya, Tan Sri Michelle Yeoh berkahwin dengan Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Datuk Jean Todt.

Janet menyatakan hasrat tersebut sempena Hari Ibu dan berkata dia akan bahagia jika melihat kedua pasangan itu bersatu dalam masa terdekat ini.

"Sudah tentu lebih cepat lebih baik dan saya tidak sabar untuk hari tersebut. Setiap ibu ingin melihat anak perempuannya berkahwin dan saya amat berbesar hati melihat Jean menjadi suami kepada anak saya," katanya pada Jumaat.

Selain itu, Janet juga memaklumkan anaknya akan pulang ke Malaysia untuk menyambut Hari Ibu bersamanya pada tahun ini.

"Michelle ada maklumkan yang dia akan pulang dalam masa terdekat ini tetapi bukan minggu ini kerana dia sibuk menguruskan bantuan gempa bumi di Nepal.

"Menerusi bantuan oleh mereka, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban rakyat Nepal di sana," katanya.

Kini, Michelle dan Todt berada di Kathmandu untuk Sukan Kongres Wilayah Asia Pasifik FIA selepas gempa bumi melanda negara itu pada 25 April.

Terdahulu, Michelle Yeoh, 50 mengikat tali pertunangan bersama Jean Todt, 69 sejak tahun 2005.

Hari Ibu, FIA

Artikel Lain