suria

Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah Perlu Dimantap

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya umat Islam bersatu hati dalam memantapkan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Menurut baginda, usaha itu perlu dilaksanakan secara berterusan dalam bentuk pendidikan, aktiviti dan program berlandaskan manhaj ASWJ.

"Umat Islam harus meluaskan pemikiran dan memerdekakan minda, berfikir secara bijaksana dan mencetuskan pendapat-pendapat bernas yang boleh membentuk masyarakat untuk menghayati nilai-nilai Islam.

"Justeru, program-program yang boleh mencorak dan menarik golongan muda khususnya wajar diperbanyakkan," titah baginda ketika merasmikan 'Perkampungan Sunnah 2015' peringkat negeri di perkarangan Masjid Alwi di sini pada Jumaat malam.

Program tiga hari itu yang berakhir esok bertemakan 'Sunnah Mengukuhkan Ukhuwah' diadakan bersempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-72.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut  berangkat. Ia turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Program itu anjuran bersama Jabatan Mufti Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan beberapa badan bukan kerajaan.

"Beta ingin mengingatkan bahawa penganut agama Islam mempunyai ikatan dan komitmen terhadap pencipta mereka. Islam adalah 'Addin' iaitu cara hidup yang lengkap dan mempunyai kesinambunan antara dunia dan akhirat," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar setiap agensi agama Islam bersatu menggembleng tenaga, fikiran dan bekerjasama bagi memantap dan mempertahankan maruah sertga kehormatan negara dengan melahirkan ummah cemerlang.

Baginda turut melancarkan program mengulas buku oleh wakil-wakil agensi  negeri bagi menggalakan orang ramai membaca buku.

Sempena program, turut diadakan forum perdana bertajuk 'Bicara Buat Umat,' menampilkan ahli panel Senator Datuk Asyraf Wajdi Datuk Dusuki, bekas Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan ahli akademik Dr Mazlee Malek.

ASWJ, Perlis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain