suria

Kastam KLIA Rampas Dadah Bernilai RM2.1 Juta

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan tiga cubaan menyeludup dadah seberat 12.09 kg ke negara ini bernilai RM2.1 juta.

Pengarahnya Datuk Chik Omar Chik Lim berkata kes pertama melibatkan sebuah bungkusan yang dikirim dari Lagos, Nigeria ke Klang, Selangor melalui perkhidmatan penghantaran cepat.

Beliau berkata bungkusan yang tiba pada 21 April itu dirampas berikutan penerimanya gagal dihubungi selepas beberapa hari bungkusan itu tidak dituntut.

Menurutnya bungkusan itu mengandungi tujuh tin makanan berisi methamphetamine seberat 0.692 kg bernilai RM131,480 dan tiga tin berisi ganja mampat seberat 0.979 kg bernilai RM2,937.

"Ini adalah kali pertama kami merampas ganja dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan pemilik bungkusan itu yang disyaki mempunyai pertalian dengan tangkapan pada 16 April lepas," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Dalam sidang media pada 22 April lepas, Chik Omar memaklumkan mengenai penahanan seorang lelaki Nigeria berusia 34 tahun di kawasan pangsapuri Taman Sentosa, Klang pada 16 April lepas serta rampasan 1.33 kilogram syabu bernilai RM253,080 yang disembunyikan dalam tin makanan.

Chik Omar dalam sidang media hari ini berkata dua lagi kes melibatkan cubaan menyeludup methamphetamine oleh dua lelaki warga India berusia 40-an yang tiba dari Chennai di klia2 pada 3 Mei lepas.

Katanya, pemeriksaan ke atas bagasi kedua-dua suspek mendapati terdapat ruangan khas yang ditutupi pakaian berisi methamphetamine masing-masing seberat 5.6 kg dan 4.82 kg dengan nilai keseluruhan RM1,979,800.

"Suspek disyaki saling mengenali memandangkan beg mereka adalah sama dan dari jenama yang sama, walaupun mereka mendakwa tidak kenal antara satu sama lain," katanya.

Katanya siasatan awal mendapati mereka pertama kali melawat negara ini dengan niat untuk melancong.

Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Kastam, KLIA

Artikel Lain