suria

Sultan Ibrahim Titah Rang Undang-Undang LPHJ Dikaji Semula

JOHOR BAHARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menitahkan agar rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) dikaji semula dan dipinda supaya selaras dengan enakmen lain yang berkuat kuasa di negeri itu.

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah baginda tidak bersetuju dengan rang undang-undang LPHJ yang diluluskan pada persidangan yang lalu.

"Ini kerana ia telah dipinda mengikut desakan orang luar, yang cetek akal yang tidak faham mengenai kuasa raja di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim, di sini, Khamis.

Baginda bertitah sekiranya rang undang-undang tersebut diluluskan, maka ia  tidak selaras dengan beberapa enakmen yang telah diguna pakai sebelum ini tanpa ada masalah, seperti Enakmen Perbadanan Johor 1968.

Pada 9 Jun tahun lepas, DUN meluluskan Enakmen LPHJ, yang bertujuan untuk menjadi panduan pembangunan sektor perumahan dan hartanah di negeri ini.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan kerajaan negeri harus bijak menguruskan sektor pembangunan hartanah untuk mengimbangi permintaan dan penawaran.

Baginda bertitah pelabur atau pemaju hartanah pastinya akan menjalankan kajian yang mendalam sebelum merancang sesuatu pembangunan dan mereka amat sensitif dengan dasar atau prosedur kerajaan yang sering berubah-ubah dan tidak konsisten.

"Oleh itu suka saya ingatkan kerajaan (negeri) supaya lebih berhati-hati sebelum menetapkan sesuatu dasar atau peraturan, dan setiap keputusan yang telah dibuat mestilah dimaklumkan kepada umum dengan segera supaya tidak timbul kekeliruan atau salah faham yang akan merosakkan hartanah," titah baginda.

Baginda bertitah mengenai pentingnya penekanan terhadap pelaksanaan infrastruktur asas yang menjadi pemangkin kepada pelaburan hartanah seperti projek kereta api laju Johor Baharu-Kuala Lumpur dan Rapid Transit System.

"Permintaan terhadap pembangunan hartanah di Johor masih cerah dan akan kekal bertahan dengan permintaan terhadap pembelian hartanah masih melebihi penawaran," titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mencadangkan agar kerajaan memperbanyakkan skim rumah sewa beli untuk membantu golongan pendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Ini berikutan masih ramai antara mereka sukar mendapatkan kemudahan pinjaman bank terutama golongan muda berpendapatan rendah, titah baginda.

"Kerajaan (negeri) harus segera mewujudkan dasar bagi Zon Antarabangsa untuk merancakkan pelaburan asing dan bagi mengimbangi harga rumah untuk penduduk tempatan," titah Sultan Ibrahim.

Di samping itu, baginda bertitah supaya pihak berkuasa sentiasa berbincang dan mendapatkan pandangan daripada persatuan pemaju hartanah yang terlibat dengan dasar yang akan dikuatkuasakan agar kepentingan semua pihak dapat dijaga.

Memandangkan negeri Johor merupakan lokasi pelaburan hartanah yang utama di Malaysia, dasar pelaburan dan pembangunan yang konsisten dan mesra pelabur adalah amat penting bagi mengekalkan kepercayaan pelabur, titah Sultan Ibrahim.

Selain itu, baginda turut mengingatkan agar kerajaan negeri sentiasa memantau dan mengkaji semula pelan pembangunan yang dirancang supaya selaras dengan perubahan ekonomi dan kehendak rakyat dari semasa ke semasa.

Sultan Ibrahim bertitah walaupun kedudukan kewangan kerajaan negeri baik, ia perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa akan datang.

"Kita seharusnya telah belajar daripada sejarah lalu yang mana 'recession' (kemerosotan ekonomi) akan berlaku setiap 10 tahun. Oleh itu, apabila ia berlaku lagi kita telah bersedia," titah baginda.

Baginda bertitah hasil perancangan yang lemah dan kesan daripada krisis kewangan tahun 1997-1998 telah menyebabkan masih terdapat beberapa bangunan tinggi di bandar Johor Baharu yang terbiar seperti Pacific Mall, Lot 1 dan Kemayan City.

Justeru, visi Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Johor 'Kuasa Baru Ekonomi' bagi Malaysia adalah penting bagi mengembalikan kegemilangan Johor lebih seratus tahun yang lalu, titah Sultan Ibrahim.

Persidangan DUN pada penggal ini akan bermula Ahad ini sehingga 18 Mei.

Sultan Johor, LPHJ

Artikel Lain