suria

Kontroversi PAS-PKR Tak Gugat Sokongan Kepada Dr Wan Azizah - Mat Sabu

BUKIT MERTAJAM: Walaupun dihimpit kontroversi berhubung pelaksanaan hukum hudud, PAS yakin pengundi di kalangan ahli parti itu tetap akan menyokong calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada Khamis.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, isu hudud tidak akan menjejaskan peluang Dr Wan Azizah untuk kembali berkhidmat di kawasan berkenaan.

"Tidak akan menjejaskan sebab segala persiapan telah kami lakukan dan tidak akan menjejaskan undi, bahkan akan bertambah lagi kali ini,” katanya pada sidang media di Yayasan Aman di sini, Rabu.

Isu hudud menjadi polemik dikalangan pakatan pembangkang apabila Pemuda PAS Pulau Pinang dan PAS Kawasan Permatang Pauh sebelum ini mengambil keputusan untuk memboikot kempen PKR.

Bagaimanapun kedua-duanya akhirnya mengambil keputusan untuk membuat 'pusingan U' dan menyokong pencalonan Dr Wan Azizah sebagai calon Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata, keputusan PRK Rompin yang menyaksikan penurunan majoriti kemenangan Barisan Nasional (BN) merupakan petanda baik kepada PKR di Permatang Pauh.

“Rompin adalah kubu kuat untuk BN terutamanya Orang Asli dan Felda. Namun berlaku pengurangan peratusan dan ini menunjukkan satu signal yang tidak baik kepada BN.

"Saya yakin trend ini akan diterjermahkan di Permatang Pauh nanti. Kami daripada PAS akan terjemahkan sokongan esok.

“Kami yakin dalam masa 24 jam, kami akan memenangkan calon kami,” katanya.


Artikel Lain