suria

Kawal Tutur Kata, Tingkatkan Kesabaran Jika Bawa Anak Tunai Umrah

Kesabaran sesuatu yang utama ketika membawa kanak-kanak menunaikan ibadah di Tanah Suci.

ASSALAMUALAIKUM. Tidak lama lagi cuti sekolah bermula. Ketika ini, semakin ramai ibu bapa membawa anak-anak untuk menunaikan umrah dan sebahagian besar merebut peluang ketika cuti sekolah pertengahan tahun ataupun hujung tahun.

Walaupun harga pakej agak tinggi pada musim cuti sekolah, tetapi itu bukan halangan apatah lagi duit tabungan sudah mencukupi dan memungkinkan pasangan membawa anak-anak yang masih di bangku sekolah untuk bersama-sama beribadat.

Namun, cabaran tetap ada kepada ibu bapa kerana si kecil sering merungut dan merengek setiap kali dikejutkan untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram kerana waktu Subuh di sana begitu awal iaitu sekitar 4.50 pagi dan jika hendak bersolat jemaah, kita perlu datang ke masjid satu jam lebih awal untuk mendapat tempat di dalam masjid.

Jika lewat, sudah tentu tidak dibenarkan lagi masuk ke dalam masjid dan hanya bersolat di sekitar dataran Masjid Nabawi atau Masjidil Haram. Justeru, jemaah dinasihatkan agar datang lebih awal iaitu sesudah azan kali pertama berkumandang menandakan dalam tempoh satu jam lagi, azan Subuh pula dilaungkan oleh muazin.

Pengalaman membawa si kecil seawal usia hampir enam tahun banyak mengajar saya dan menyebabkan saya gemar berkongsi pengalaman itu apabila ada rakan-rakan dan kenalan yang mahu mendapatkan pandangan apabila mahu membawa anak-anak.

Terus terang saya katakan, memang seronok membawa anak-anak mengerjakan umrah. Malah, tidak sama dengan percutian ke tempat lain. Mengerjakan ibadat umrah bersama mereka meninggalkan pengalaman manis dan tidak dapat dilupakan sepanjang hayat.

Malah, apabila dewasa, mereka dengan sendiri lebih teruja untuk ke Tanah Suci berbanding negara lain. Tidak keterlaluan dikatakan, mereka juga cemburu apabila mengetahui saya mahu mengerjakan umrah tanpa membawa mereka.

Kata-kata berikut sering secara spontan keluar dari bibir anak-anak jika saya mengatakan saya akan pergi ke Makkah.

“Seronoknya umi nak pergi Makkah…”

“Bilalah kita boleh pergi Makkah dengan umi lagi?”…

“Kita rindulah Makkah…”

Kadangkala kata-kata yang terbit daripada bibir mereka membuatkan saya terharu namun apakan daya, mereka jua mempunyai tugas dan tanggungjawab sebagai pekerja serta pelajar.

Mendengarkan kata-kata mereka, saya sering mengingatkan bahawa pemergian ke Tanah Suci adalah atas undangan daripada Allah SWT dan rezeki seseorang untuk berkunjung ke Baitullah.

Berbalik kepada pengalaman membawa anak-anak ke Tanah Suci, ingin saya nasihatkan mereka yang mahu membawa si kecil, terutama yang berusia 12 tahun ke bawah agar bijak mengawal tutur kata dan meningkatkan tahap kesabaran.

“Umi, kita tak nak pergi solat Subuh. Kita ngantuk…” ujar Hajar pada jam 10 malam di bilik penginapan di Dallah Taibah, Madinah pada malam kedua di kota bercahaya itu.

“Tak boleh. Mana boleh tinggal seorang dalam bilik. Semua orang pergi solat,” balas saya.

“Kita tak nak pergi…” ujar Hajar terus merengek.

Saya tidak layan rengekannya dan terus menyuruhnya tidur. Ketika itu, Hajar berusia lima setengah tahun. Kunjungan ke Tanah Suci pada 2007 itu turut disertai kedua-dua ibu bapa saya, suami dan dua lagi anak, Aliff dan Humaira; meninggalkan pengalaman cukup manis dalam hidup saya.

Pada jam 3.45 pagi bilik sudah terang benderang kerana itu satu cara untuk mengejutkan anak-anak.

Ketika itu, Aliff, 14, tiada masalah untuk bangun tidur walau di mana-mana sahaja, manakala Humaira, 12, yang lazimnya liat untuk bangun  pagi pula mudah dikejutkan di Tanah Suci. Alhamdulillah.

Hajar yang kali pertama berkunjung ke Tanah Suci ketika itu tidak mahu berpisah dengan bantal busuk dan akan monyok setiap kali dikejutkan untuk bersolat Subuh. Namun, saya buat tidak tahu sahaja dan bersabar. Begitu juga ayahnya dan kedua-dua orang tua saya.

“Hajar bangun. Kita semua nak pergi solat dah. Semua dah siap…” pujuk saya.

“Tak nak…ngantuk…” ujar Hajar perlahan.

“Tak boleh. Mesti bangun jugak. Tak boleh tinggal seorang-seorang,” balas saya lagi.

Hajar bangun dengan muka muncung dan rambut kusut masai. Saya memimpinnya ke tandas untuk mencuci muka. Marah dengan tindakan saya tetapi saya tidak mempedulikan semua itu lantas menyarungkan jubah dan tudungnya yang tersedia di atas katil.

Semua sedia menunggu Hajar yang selalunya paling akhir bersiap dan keluar dari kamar penginapan.

Saya memimpinnya tanpa mengeluarkan sebarang perkataan kerana melihatkan wajahnya yang muncung sambil memeluk erat bantal busuk kesayangannya.

Tiba di Masjid Nabawi, Hajar akan terus tidur manakala saya, Humaira dan ibu pula mengerjakan solat sunat, berzikir dan membaca al-Quran sementara menunggu azan fardu Subuh berkumandang.

Dia pasti lena di sisi saya sehinggalah azan dilaungkan. Dia tidak bersolat dan saya pula tidak memaksa kerana melihatkan mood Hajar yang tidak begitu baik setiap kali dikejutkan untuk bersolat Subuh berjemaah.

Begitulah tingkah laku Hajar setiap kali hendak mengerjakan solat Subuh di Masjid Nabawi. Dia enggan tetapi saya tidak akan layan kehendaknya dan akan terus memimpinnya ke masjid. Bimbang meninggalkan dia sendirian di bilik hotel.

Namun, ketika ziarah luar, Hajar cukup gembira. Macam-macam permainan hendak dibeli dan pelbagai makanan mahu dinikmati. Suami melayan kehendaknya sehingga ditertawakan oleh ibu dan bapa saya.

Setelah empat hari tiga malam di Madinah, kami berangkat ke kota Makkah. Hajar gembira dan bibirnya sentiasa tersenyum. Ceria sahaja bersama-sama abang dan kakaknya menunggu bas untuk ke Masjid Bir ‘Ali.

Setelah menempuh perjalanan kira-kira enam jam, kami tiba di kota Makkah dan ketika itu kami menginap di sekitar Shamiah. Sekarang ini, kawasan itu sedang dibangunkan dan semua hotel di kawasan itu sudah dirobohkan.

Masih saya ingat tempat penginapan kami ialah di Shaaima Palace Hotel, bangunan tinggi dan Alhamdulillah bilik kami besar serta selesa kerana menempatkan enam katil dan dilengkapi pantri serta ruang makan luas.

Anak-anak gembira bukan kepalang sejurus memasuki hotel berkenaan, lebih-lebih lagi Hajar yang suka melompat dan berlari-lari dengan bantal busuknya.

Selesai menikmati hidangan malam, kami semua turun ke lobi dan berkumpul untuk bersama-sama mengerjakan tawaf, saie dan tahalul. Selesai semuanya, kami pulang semula ke kamar penginapan untuk melepaskan keletihan.

Acara bebas sepanjang hari diisi dengan beribadat di Masjidil Haram. Keesokan harinya acara ziarah di sekitar kota Makkah bermula dan sudah tentu dinantikan oleh anak-anak. Suami pula rajin melayan karenah anak-anak,membeli jus dan makanan ringan.

Saban hari sebelum waktu Zuhur, suami akan membeli ayam panggang dan nasi Arab di sebuah restoran berhampiran penginapan untuk kami sekeluarga.  Selera anak-anak meningkat ketika di Tanah Suci dan perlulah dipenuhi kehendak mereka walaupun hidangan tengah hari sedia menanti setiap hari.

Hendak itu hendak ini, terutama ais krim dan segala macam makanan ringan sentiasa mengisi perut mereka. Lazimnya, di Kuala Lumpur tidak pula begitu namun, di Tanah Suci selera dan kemahuan mereka, pasti kami ikuti.

Malam kedua di Makkah, Hajar menyatakan bahawa dia tidak mahu ke masjid pada waktu Subuh.

“Umi, ayah, kita tak nak pergi masjid tau,” pinta Hajar.

“Eh tak bolehlah sayang. Kita kena pergi masjid. Rugi tak solat di masjid,” balas ayahnya.

“Ala, kita tak nak. Kita ngantuk nanti. Malaslah…” jawab Hajar manja sambil memeluk ayahnya.

“Takkan Hajar nak tinggal seorang dalam bilik ni. Semua orang pergi solat nanti,” sampuk saya pula.

“Tak apalah, kita tinggal je. Umi kunci pintu nanti,” ujar Hajar lagi.

“Tak boleh. Mesti ikut umi ayah pergi solat. Sunyi nanti tempat ni. Tak takut ke tinggal seorang?” balas saya terus.

Tidak lagi bersoal jawab dengan saya dan ayah dia. Hajar sememangnya agak takut jika sendirian.

Jam 3.30 pagi, sekali lagi saya mengejutkan mereka. seorang demi seorang memasuki tandas membuang air kecil dan berwuduk. Tiba giliran Hajar, dia buat hal dan menangis tidak mahu pergi dengan alasan mengantuk.

“Tak boleh tinggal. Semua orang pergi. Cepat…cepat…,” ujar saya sambil mencapai jubah dan tudungnya.

Mukanya muncung dan sempat menghentakkan kaki. Saya diamkan saja perlakuannya. Dia enggan ke tandas dan mula merengek.  Saya tidak peduli dan terus memimpin tangannya keluar dari kamar di paras 10 untuk ke Masjidil Haram.

Tiba di masjid, Hajar terus tidur lena di sisi saya. Selalunya saya akan pilih tempat yang paling hujung pada setiap kali solat Subuh kerana Hajar akan tidur di sebelah kanan saya.

“Tidurlah. Umi nak solat. Nanti dah habis solat, kita beli mainan,” ujar saya memujuk.

Selesai solat Subuh, saya mengejutkan Hajar yang begitu lena di sisi saya.

Dengan penuh ceria dia bertanya. “Umi dah habis solat ke?”

“Dah. Kenapa?” soal saya.

“Kan tadi umi cakap nak belikan mainan untuk kita…” jawab dia selamba.

Dalam hati saya berkata-kata, saya perlu tepati janji. Bimbang dia merengek dan tidak percaya pada saya lagi.

Bermula dari pagi itu, setiap kali selepas solat Subuh, Hajar menuntut saya membelikannya permainan sehinggalah hari kami berangkat pulang. Dia tidak lagi merungut setiap kali dikejutkan kerana tahu permainan sedia menantinya setiap pagi.

Melihatkan perangainya itu, bapa saya tertawa dan mengatakan: “Hajar umrah jajan…”

Seronok melihat gelagatnya, terutama ketika kami mengerjakan saie. Humaira rajin bercerita mengenai pengorbanan Hajar berlari-lari mencari air untuk anaknya, Ismail dan Hajar tekun mendengar.

Paling Hajar suka di tempat saie ialah peluang menaiki Bukit Safa. Dia gemar memanjat bukit itu dan duduk di kawasan berkenaan sementara menunggu saya dan ayahnya selesai saie dan tahalul untuk umrah berikutnya.


umrah, cuti sekolah, Makkah, Dallah Taibah

Artikel Lain