suria

PRK Pmtg Pauh: Ismail Sabri Pertahan Kenyataan Peruntukan Kerajaan

Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri mempertahankan kenyataannya baru-baru ini mengenai peruntukan dana kerajaan yang mendapat kritikan dengan menjelaskan bahawa adalah lebih mudah bagi beliau untuk membantu wakil Barisan Nasional (BN) berbanding pihak pembangkang dalam mendapatkan pembiayaan untuk mana-mana kawasan.

"Saya kenal Suhaimi (Sabudin) secara peribadi, seterusnya kerana dari parti yang sama. Lagipun tiada seorang pun wakil rakyat pembangkang mohon bantuan daripada saya untuk rakyat yang mereka wakili," katanya di akaun Facebooknya pada Isnin.

Beberapa portal melaporkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, beliau tidak meluluskan mana-mana dana pembangunan atau peruntukan untuk Permatang Pauh - kawasan yang amat bergantung kepada pertanian, sekiranya calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang pada pilihan raya kecil (PRK) pada 7 Mei ini.

Ismail Sabri membuat kenyataan itu semasa berucap ketika berkempen pada PRK Permatang Pauh 1 Mei lalu.

Menurut Ismail Sabri, beliau sedih apabila terdapat parti komponen BN yang bertindak 'menyerang'nya berbanding pembangkang.

"Tambah menyedihkan ramai di kalangan penyokong-penyokong Umno dalam media sosial pun 'serang' saya," katanya.

Ismail berkata, pembangkang turut berlaku dikriminasi terhadap parti politik tertentu sebagaimana DAP yang menerajui Kerajaan Pulau Pinang yang menolak beberapa cadangan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan seperti mewujudkan rumah mampu milik dan pasar tani di kawasan mereka.

"Apakah DAP berlaku adil dan melayan baik Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Umno dengan meluluskan permohonan Adun Umno untuk rakyat di kawasan mereka? Jawapannya tidak," katanya.

"Jangan mudah terperangkap dengan LGE (Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang) dan DAP yang berlagak malaikat," katanya sambil merujuk bahawa Lim dan DAP yang sepatutnya dikritik mengenai isu berkenaan.

PRK Permatang Pauh melihat pertandingan empat penjuru antara Suhaimi (BN), Dr Wan Azizah (PKR), Azman Shah Othman (PRM) dan calon bebas, Salleh Isahak.

Artikel Sebelum

Artikel Lain