suria

Mara Tamat Pinjaman Pelajar Malaysia Di London Miliki Bahan Lucah Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menamatkan pinjaman pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di Imperial College London yang dijatuhi hukuman penjara kerana memiliki lebih 30,000 bahan lucah kanak-kanak melampau.


"Mara memandang berat kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pelajar di bawah tajaan organisasi ini bagi memastikan hasrat negara melahirkan modal insan cemerlang dan berintegriti dapat dicapai," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, akhbar United Kingdom (UK) melaporkan bahawa kediaman pelajar Nur Fitri Azmeer Nordin di Queensborough Terrace, London telah digeledah pada 21 November tahun lepas.

Komputer ribanya didapati dalam keadaan terbuka bersebelahan sebuah patung kanak-kanak.

Dalam komputernya tersimpan imej pornografi dan penderaan seksual kanak-kanak. Kebanyakan fail telah diklasifikasikan sebagai Kategori A, bagi menggambarkan bentuk penderaan seksual kanak-kanak yang paling melampau.

Nur Fitri dilaporkan dihukum penjara lima tahun selepas mengaku bersalah terhadap 13 kesalahan, termasuk memiliki imej tidak senonoh dan video kanak-kanak, dengan niat untuk mengedarkan bahan.

Mara, menurut kenyataan berkata Nur Fitri boleh dihantar pulang dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, mendakwa bahawa hukuman yang dijatuhkan kepada pelajar berusia 23 tahun itu hanya sembilan bulan.

Katanya, hukuman penjara itu telah bermula sejak November 2014 apabila Nur Fitri pertama kali ditangkap.

"Berdasarkan Visa dan undang-undang Imigresen di United Kingdom, seseorang yang telah menjalankan 2/3 hukuman penjara boleh dihantar pulang ke negara asalnya. Ini bermakna dia boleh dihantar pulang dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang dari tarikh sabitan, " katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain