suria

Bantah GST: Lima Lagi Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lagi individu menjadikan jumlah keseluruhan 35 ditahan bagi membantu siasatan susulan penglibatan mereka dalam Perhimpunan Bantah GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) di sini, petang Jumaat.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata lima yang ditahan itu ialah anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli, aktivis Hishamuddin Rais dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan.

"Rafizi, Hishamuddin dan Hatta ditahan pada tengah hari tadi dan permohonan reman akan dilakukan esok manakala bekas Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S.
Ambiga ditahan semalam, Anthony Loke dan Arutchelvan dimohon reman pada hari ini," katanya dalam kenyataan kepada Bernama, Sabtu.

"Anthony Loke, Arutchelvan dan Ambiga akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 143 dan 141 Kanun Keseksaan manakala Hishamuddin, Hatta dan Rafizi akan disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Jumaat, polis menahan seramai 30 individu termasuk Ambiga kerana terlibat  dalam Perhimpunan Bantah GST di ibu kota.

Sebelum ini, polis memaklumkan akan mengambil tindakan terhadap peserta perhimpunan berkenaan yang dipercayai melanggari peraturan dan undang-undang antaranya melakukan vandalisme terhadap harta awam, menggunakan bom asap dan membawa kanak-kanak ketika berlangsungnya perhimpunan.

Artikel Lain