suria

Lelaki Myanmar Ditemui Mati Dengan Tangan Terikat

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki rakyat Myanmar ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kedua-dua tangannya terikat di kawasan hutan berhampiran sebuah tokong di Lima Kedai, Gelang Patah, di sini, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata mayat lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditemui di atas rumput oleh orang awam pada 3.20 petang yang kemudiannya memaklumkan polis.

"Tempat kejadian adalah kawasan hutan yang bersebelahan ladang getah dan lebuh raya. Mayat turut ditutup dengan rumput dan siasatan awal mendapati tiada kesan pergelutan padanya," kata beliau ketika dihubungi, di sini, Sabtu.

Noor Hashim berkata unit anjing pengesan dan forensik turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan tidak menemui sebarang senjata di sekitar kawasan itu.

Beliau berkata pengecaman mayat berkenaan dilakukan abang mangsa dan mayat kini berada di Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk bedah siasat.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di talian 07-5113622 untuk membantu siasatan.
Supt Noor Hashim Mohamad

Artikel Lain