suria

PRK Rompin: Keputusan Diketahui Lewat Malam

ROMPIN: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini, dijangka diketahui seawal jam 11 malam yang sama, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata kelewatan itu disebabkan Parlimen Rompin merangkumi kawasan yang sangat luas, meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bukit Ibam, Muadzam Shah dan Tioman, menyebabkan masa yang panjang diperlukan untuk proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Beliau mengambil contoh Felda Selancar yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari bandar Rompin, dan jika proses mengira undi di situ tamat pada jam 7 malam, jumlah undi hanya tiba di pusat penjumlahan pada jam 10 malam.

"Apabila tiba di pusat penjumlahan, kita juga masih perlu mengambil sedikit masa untuk proses lain seperti mengumpul dan memasukkan data ke dalam komputer sebelum membuat pengumuman," katanya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon bagi PRK Parlimen Rompin di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, Rabu.

Mengulas tentang jangkaan peratusan keluar mengundi bagi PRK ini, Abdul Aziz berkata SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi kali ini menurun kepada 80 peratus daripada 86 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei, 2013.

Abdul Aziz bagaimanapun menolak tanggapan bahawa pengurangan peratusan itu disebabkan hari pengundian diadakan pada hari bekerja kerana rekod SPR jelas menunjukkan bahawa faktor hari bekerja atau hari cuti tidak mempunyai kaitan dengan jumlah peratusan keluar mengundi.

"Tidak ada kaitan langsung. Kita pilih hari yang SPR fikirkan paling sesuai.

Kita pernah pilih hari cuti, namun peratusan keluar mengundi tetap rendah seperti yang berlaku di PRK Parlimen Teluk Intan, Perak, dan DUN Chempaka, Kelantan " katanya.

Abdul Aziz berkata bagi PRK Rompin, SPR menubuhkan enam pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya bagi tujuan pemantauan, dengan setiap DUN ditempatkan dua pasukan.

"Pasukan ini akan membuat rondaan, dan jika ada kempen yang dijalankan melanggar peraturan, tindakan akan diambil. Pasukan ini terdiri daripada wakil  polis, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil parti politik yang bertanding.

"SPR juga ada melantik pemerhati pilihan raya yang terdiri daripada sembilan individu daripada Majlis Belia Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Veteran Tentera," katanya.

PRK Rompin, SPR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain